
SUKAN dapat membentuk karakter anak-anak supaya lebih berdisiplin, dapat berfikir secara kritis dan berupaya menyelesaikan masalah secara rasional.
Saranan itu disuarakan Omar Anuar Roslay, 43, yang ketika ini gigih melatih anaknya Aqeef Miqael, 15, untuk lebih serius dalam arena bola sepak.
"Sukan bola sepak ini bukan sekadar skil tetapi, set minda, sikap, disiplin dan pendidikan amat penting. Saya mahu lahirkan generasi pemain bola sepak remaja dan kanak-kanak yang seimbang antara rohani, jasmani dan berpendidikan sejajar dengan zaman ini," katanya ketika temubual dalam program Duduk Sembang di Majoriti.
BACA LAGI: Rumah tradisional nelayan hiasi Pantai Kampung Jambu Bongkok
BACA LAGI: [VIDEO] Musim candat sotong di perairan Pantai Timur 'syurga' buat kaki pancing
Omar dan anaknya Aqeef Miqael semasa Program Back To The Roots: With Nani & Brown anjuran Adidas.
Katanya, asas pendidikan generasi sekarang yang terdedah dengan gajet dan perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) perlu bermula dari sekolah.
“Sebagai contoh, remaja lain termasuk anak saya dapat beraksi cemerlang di atas padang seiring dengan pembelajarannya di dalam kelas," ujarnya.
Omar yang juga seorang jurutera menambah, pembentukan sahsiah diri anak-anak banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti aktiviti selepas sekolah iaitu dengan bersukan, pergaulan rakan sebaya dan didikan agama.
“Wajib sokong kalau anak sudah menunjukkan minat yang tinggi dalam bola sepak namun jangan terlalu fokus kepada prestasi bermain dan sebagai seorang ayah, saya juga tekankan kepada kecerdasan mental bagi membentuk karakter yang lebih bagus.
“Terdapat segelintir ibu bapa yang menekan anak-anak untuk cemerlang dalam sukan, masuk kejohanan sana sini tetapi perkara itu tidak bagus kerana ia menjadi tekanan kepada anak-anak," katanya.
Omar seorang jurutera dan jurulatih yang mlatih anaknya sendiri untuk membina karakter dalam permainan bola sepak.
Berbicara mengenai masa depan bola sepak, Omar yang aktif bermain bola sepak sehingga kini berpendapat ketepikan dahulu hasrat jika ingin menjadikan bola sepak sebagai kebergantungan hidup.
"Arena bola sepak negara masih belum stabil dan amat berisiko jika ingin jadikan sukan itu sebagai mata pencarian dengan tekanan ekonomi dan kos sara hidup ketika ini.
"Tetapi apa-apa pun boleh berlaku mungkin setahun dua lagi, keadaan berubah dan secara purata, tempoh bekerja sebagai pemain bola sepak sehingga usia 35 tahun dan selepas itu bersara," jelasnya.
Ikuti perkongsian lanjut bagaimana Omar melatih dan mendidik anaknya hingga cemerlang dalam sukan dan pendidikan dalam program Duduk Sembang di Majorit.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram