
PEMINAT sejarah dan orang ramai kini mempunyai satu lagi destinasi menarik untuk dikunjungi di ibu negara apabila Galeria Sri Perdana, bekas kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali dibuka kepada umum.
Pembukaan semula galeri tersebut bersempena ulang tahun kelahiran ke-100 tokoh negarawan itu, sekaligus menjadikan premis bersejarah ini sebagai salah satu tarikan pelancongan dan warisan negara yang penting.
Galeria Sri Perdana terletak di lereng bukit yang menghijau di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, dan menempatkan pelbagai bahan pameran berkaitan kehidupan peribadi dan kerjaya Tun Dr Mahathir sepanjang beliau menerajui pentadbiran negara.
Bangunan ini pada asalnya dikenali sebagai "Sri Timah", dan merupakan sebuah banglo milik Malaysia Mining Corporation (MMC) sebelum diambil alih oleh kerajaan untuk dijadikan kediaman rasmi Tun Dr Mahathir dan keluarganya dari Ogos 1983 hingga Oktober 1999, sebelum beliau berpindah ke Putrajaya.
BACA LAGI:Rumah inap tepi sawah di Perlis, pulang bawa balik harum manis
BACA LAGI: Harga barang naik sebab SST? Jangan terlalu cepat buat spekulasi
Ruang menyuarat Tun M bersama tetamu.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, berkata kerja-kerja naik taraf bernilai RM12.76 juta telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebagai usaha memelihara bangunan warisan ini untuk tatapan dan penghayatan generasi akan datang.
“Galeria ini bukan sahaja menyimpan sejarah pentadbiran Tun Dr Mahathir, tetapi juga mencerminkan perubahan landskap politik, ekonomi dan sosial negara sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Keterujaan terhadap pembukaan semula Galeria Sri Perdana turut dirasai oleh pengunjung, termasuk Harith Fauzan, 31, dari Presint 18, Putrajaya, yang menyifatkan galeri tersebut sebagai lokasi istimewa yang membangkitkan kenangan silam bersama tokoh idolanya.
“Pada tahun 2004, ketika saya di Tahun 4, saya berpeluang bertemu Tun Mahathir dan bersalaman dengannya di hadapan Masjid Putrajaya selepas solat sunat Aidilfitri. Sejak itu, beliau menjadi idola saya,” katanya yang berasal dari Perak.
Harith berkata, Galeria Sri Perdana membuka peluang untuk beliau memperkenalkan anaknya kepada tokoh penting yang telah membawa banyak perubahan kepada negara.
Kerusi potong rambut Tun Mahathir.
“Nostalgia Tun di Putrajaya amat besar. Saya sendiri berhasrat membawa anak saya ke galeri ini agar dia dapat mengenali siapa Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut percaya bahawa galeri ini mampu menjadi tarikan pelancong antarabangsa, memandangkan reputasi Tun Dr Mahathir yang dikenali luas di peringkat global.
“Siapa saja yang tidak kenal Tun M? Pembukaan galeri ini secara tidak langsung membantu mempromosikan pelancongan sejarah dan memperkenalkan warisan kepimpinan negara kepada dunia,” katanya.
Dengan pelbagai bahan pameran, memorabilia dan susun atur kediaman yang dikekalkan hampir sepenuhnya seperti asal, Galeria Sri Perdana dijangka menjadi lokasi penting dalam mendidik generasi muda tentang sejarah, kepimpinan dan nilai kenegaraan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram