
SHIBUYA Crossing atau lintasan zebra di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur semakin menjadi tarikan pelancong.
Lintasan zebra itu menarik perhatian ketika semua lampu isyarat bertukar hijau dengan ke semua enam laluan di jalur kuning jalan raya akan dilintasi oleh puluhan pengguna dari semua arah.
Oleh kerana momen itu tidak ubah seperti Shibuya Crossindi Tokyo mahupun di New York, lantas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menamakan lintasan pejalan kaki itu sebagai Shibuya Crossing Kuala Lumpur.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM
Namun, Shibuya Crossing Kuala Lumpur bukanlah satu-satunya lokasi untuk anda merakam momen gelagat manusia atau pun ber'ootd'.
Masih banyak lagi lokasi viral yang boleh anda kunjungi. Ini tiga lokasi yang patut anda cuba untuk mendapat bingkai lensa berkonsep laluan jalur kuning di persimpangan jalan Bukit Bintang.
Panorama Shibuya Crossing Kuala Lumpur stesen monorel Bukit Bintang — Instagram @heartpatrick
Stesen Monorel Bukit Bintang
Mungkin ramai yang melalui kawasan monorel tersebut kerana ia adalah salah satu stesen popular dan mempunyai jejantas yang menghubungkan sebuah pusat beli belah untuk menyeberangi ke Jalan Sultan Ismail.
Sebelum anda turun ke tangga menuju ke seberang jalan, terdapat sudut kecil di hujung stesen yang memberikan anda pemandangan dari arah tepi stesen yang cukup menarik.
Tapi, pastikan anda tunggu monorel lalu sebelum merakam momen yang cukup menarik.
Ambil peluang bermalam di hotel Wolo Kuala Lumpur untuk melihat pemandangan Jalan Bukit Bintang dari atas.
Hotel Wolo Kuala Lumpur
Nak tengok pemandangan dari atas persimpangan jalan tetapi tak ada dron? Sekalipun anda mempunyai gajet tersebut, penggunaan dron di kawasan Bukit Bintang memerlukan lesen atau permit.
Jadi, apa kata anda ambil peluang bermalam di hotel Wolo Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Sultan Ismail.
Selain penginapan yang selesa, anda juga mendapat bonus untuk merakam momen dari bilik hotel dengan pemandangan dari sudut persimpangan Jalan Bukit Bintang.
Teknik fotografi yang paling sesuai ialah selang masa atau time-lapse terutamanya waktu malam.
Restoran Halab Gate
Jika anda ingin merasai vibe ala-ala Timur Tengah tetapi di Bukit Bintang, lokasi terbaik adalah di Restoran Halab Gate.
Di sini, anda akan mendapatkan pemandangan persimpangan Jalan Bukit Bintang tetapi pastikan anda menempah meja paling tepi di tingkat atas kerana itu adalah posisi terbaik.
Jadi, apa tunggu lagi? Jejakkan kaki anda ke tiga lokasi di atas dan alami pemandangan indah suasana di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram