
SIAPA sangka daripada sekadar hobi mengumpul Kad Perdagangan Pokemon (PTCG), ia kahirnya dapat memberi pelaburan pulangan lumayan.
Pengasas TCG Kuala Lumpur, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, 35, mengakui pelaburannya terhadap item watak animasi dan kartun dari Jepun itu secara purata sudah hampir mencecah RM3 juta.
Anak jati Tanah Merah, Kelantan itu mula meminati Pokemon melalui peranti permainan video Game Boy, sejak di bangku sekolah.
BACA LAGI: [VIDEO] Ada yang anggap sampah, Cikgu Khalid hayati roh lukisan 'anak-anak syurga'
Ikmal Hazlan menunjukkan salah satu set koleksi kad Pokomen miliknya yang mencecah RM40,000.
Malah, kad paling mahal yang pernah dibeli olehnya ialah kad yang dilukis dan dicipta oleh pencipta salah satu karakter dalam siri animasi Pokemon, Mitsuhiro Arita yang turut disertai tanda tangan dengan gred 10 Pristine.
"Kad tersebut berharga RM11,000 dan harganya meningkat di pasaran kerana ketulenan dan tanda tangan perekanya," katanya.
Kini, beliau berhasrat mahu melebarkan komuniti peminat-peminat TCG di seluruh Malaysia.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu mendedahkan kegilaan mengumpul TCG di negara ini bermula sejak awal era 90-an.
"Pada tahun 90-an ada yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit kerana menyedari pengumpulan kad ini bakal membawa pulangan di kemudian hari dan mempunyai nilai psaran yang tinggi.
"Mereka menjadikan kad-kad ini seperti harta dengan membalut serta menyimpan kad di dalam kotak khas bagi menjaga kualitinya," katanya.
Antara kad pokemon yang dimasukkan ke dalam bekas khas dan digredkan pada tahap kualiti tinggi.
Ikmal Hazlan berkata, kegilaan mengumpul kad itu tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan apabila dilanda wabak Covid-19 pada 2019.
"Masa tu Logan Paul beli kad Pikachu illustrator Pokemon pada harga RM24 juta dan selepas itu hobi tersebut mula 'meletup'.
"Tak mustahil suatu hari nanti nilai kad Pokemon ini boleh menjadi cagaran kepada bank," katanya.
Koleksi kad yang sama tetapi tulisan berbeza mengikut bahasa keluaran negara masing-masing memiliki nilai yang tinggi di pasaran.
Namun, dalam ketaksuban mengumpul PTCG, Ikmal Hazlan menasihatkan pengumpul kad-kad itu agar tidak menjadikan hobi berkenaan sebagai sumber pendapatan.
"Walaupun berpotensi dijadikan pelaburan tapi kena pandai dalam mencari kad yang betul," katanya.
Ikuti video lanjut dalam segmen Hobi di Majoriti mengenai harga, jenis dan gred yang ada dalam koleksi Ikmal Hazlan berkaitan kad Pokemon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram