Gol sendiri Ulsan robek luka lama penyokong Sang Penyu, tapi doa tetap iringi JDT


  • Podium
  • Isnin, 02 Mei 2022

Aksi perlawanan JDT menentang Ulsan Hyundai pada 30 April lalu. — Bernama

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL buat pertama kali selepas menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Iskandar Puteri, Johor cukup membanggakan peminat bola sepak tanah air tidak kira sama ada penyokong Harimau Selatan atau tidak.

Kemenangan manis yang penuh dramatik di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.

Dalam perlawanan itu, anak buah Benjamin Mora hanya memerlukan lima minit untuk berada di depan menerusi sepakan percuma menarik Leandro Velazquez.

Bagaimanapun, kegembiraan JDT hanya bertahan kira-kira seminit apabila Ulsan Hyundai yang juga juara ACL 2012 dan 2020, berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan deras Jun Amano.

Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan seri, tuah memihak JDT apabila Park Yong-Woo tertampan bola hantaran lintang Arif Aiman Hanapi ke gawang sendiri pada masa kecederaan, sekali gus menjadi jaringan emas buat skuad Harimau Selatan melangkah ke pusingan kalah mati.

Ternyata detik manis buat JDT itu, dalam diam merobek luka lama penyokong Terengganu FC pernah berdepan situasi seperti dialami penyokong Ulsan.

Nostalgia pahit itu dibangkitkan oleh Mazli Mohamad yang menyamakan kemenangan minit akhir JDT seperti yang berlaku pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

WhatsApp Image 2022-05-01 at 11.15.56 PM

Hantaran yang dimuat naik Mazli.

"Tengok game (perlawanan) ni teringat aksi final Malaysia Terengganu vs Perak.

"Gol sendiri meranapkan impian. Semoga TFC raikan kejayaan dalam liga tempatan untuk ikut jejak langkah JDT," kata Mazli Mohamad menerusi hantaran di laman Facebook.

Perak FC muncul sebagai juara Piala Malaysia 2018, selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final.

Dalam perlawanan dramatik itu, TFC pada awalnya mendahului Perak dengan jaringan 2-0 tetapi skuad Seladang bangkit mengikut kedudukan 2-2 dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Skuad Penyu sekali lagi di depan pada masa tambahan dengan kedudukan 3-2 tetapi jaringan sendiri Igor Zonjic pada minit-minit akhir, mengheret perlawanan itu penentuan sepakan penalti.

Ternyata, tuah dan semangat berpihak kepada Perak apabila penjaga golnya Muhammad Hafizul Hakim Jothy berjaya menyelamatkan dua sepakan, sekali gus membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia dan membuatkan Sang Penyu menangis.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram