BARU enam perlawanan Liga Super berlangsung, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC, sudah melatah dengan prestasi kurang konsisten anak buah Aidil Sharin Sahak.
Sang Kenari kini berada pada kedudukan ketiga liga dengan berkongsi 12 mata bersama pendahulu, Johor Darul Takzim yang masih kurang dua perlawanan, dan Sabah FC yang dipisahkan beza jaringan.
Dengan kedudukan itu, rata-rata penyokong Kedah mula khuatir dengan kemampuan pasukan kesayangan mereka mencabar kejuaraan Liga Super yang kali terakhir dimenangi pada 2008 sehingga membuatkan ada yang tidur tak lena.
Ada juga yang sudah mula meratib nama-nama legenda seperti Tan Cheng Hoe dan Azraai Khor Abdullah untuk dibandingkan dengan Aidil yang baru setahun jagung mengendalikan Kedah.
Tidak kurang juga ada yang menyalahkan pemain import yang dilabel tangkap muat dan tidak berkualiti seperti import sebelum ini seperti Liridon Krasniqi, Nelson San Martin dan Sandro.
Sudah ada peminat yang mempertikai keupayaan Aidil.
Corak permainan
Namun bagi legenda jurulatih Kedah, Ramon Marcote, penyokong perlu bersabar dengan prestasi terumbang-ambing Sang Kenari buat masa ini.
Ini kerana katanya, Kedah berdepan musim baharu dengan ramai muka-muka baharu, sekali gus kadang-kala keadaan ini boleh menyebabkan sesebuah pasukan tidak dapat beraksi dengan konsisten.
"Apa yang saya lihat pasukan Kedah tidak mempunyai corak permainan yang jelas dan pemimpin yang berkualiti dalam skuad," katanya merujuk kepada sifat kepimpinan dalam pasukan kepada Majoriti.
Sebelum ini, Kedah diketuai oleh Baddrol Bakhtiar dan kini tugas kapten digalas oleh Syazwan Zainon selepas Baddrol berpindah ke Sabah FC.
Selain itu, Ramon turut menyentuh tentang corak permainan yang diterapkan Aidil pada musim ini yang banyak bergantung kepada taktikal 3-4-3.
Syazwan kini menggalas sebagai kapten Kedah menggantikan Baddrol.
Ramon berkata, Kedah mempunyai bakat muda yang bagus untuk menerapkan pelbagai corak permainan dalam setiap perlawanan.
"Dengan perancangan dan pelaksanaan metodologi serta corak permainan yang betul, Kedah akan menjadi pasukan yang kuat.
"Saya suka bakat muda pemain Kedah. Pengurusan memainkan peranan baik dalam mendapatkan pemain muda tempatan yang berkualiti," katanya.
Berbeza berbanding musim lepas, Kedah merupakan antara tiga pasukan paling banyak jaringkan gol selepas JDT (50), Selangor (45).
Jumlah jaringan ini secara tidak langsung menunjukkan kualiti corak permainan yang lebih agresif untuk merobek gawang lawan pada musim 2021.
Tetapi musim ini, Kedah sudah menjaringkan lapan gol dan hanya satu perlawanan saja gagal mencatat hasil jaringan iaitu ketika bertemu Sabah FC pada minggu lalu.
Pertahanan Kedah dikatakan longgar sejak ketiadaan Rizal.
Pertahanan koyak
Kedah merupakan pasukan kedua dalam liga paling tinggi dibolosi iaitu 11 gol, sama seperti KL City, hanya satu gol dipisahkan dengan Sarawak United FC yang bolos 12 gol.
Gol paling banyak bolos adalah ketika perlawanan away menentang Selangor FC dan Sabah FC dengan masing-masing empat gol.
Malah daripada enam perlawanan, hanya dua kali sahaja Kedah 'cleansheet' iaitu ketika bertanding ke Sarawak pada perlawanan pertama Liga Super dan bertemu Sri Pahang FC di Darul Aman dengan kedua-duanya menang tipis 1-0.
Mengulas lanjut perkara ini, Marcote berpendapat bahawa Kedah mempunyai kelemahan di bahagian bek kanan yang kini dikemudi oleh Marc Vales.
Sebelum ini, posisi itu dikawal oleh Rizal Ghazali yang kini berpindah ke Sabah FC, mengikut jejak Baddrol.
"Saya dapat lihat kelemahan Kedah di bahagian bek kanan yang pastinya akan diperbaiki secepat mungkin," kata Ramon.
Syafiq lebih banyak dilihat bermain di belakang Ronald.
Peranan Syafiq
Bukan lagi rahsia bahawa penyokong Kedah sudah hilang sabar acapkali melihat kelibat Ronald Ngah Wanja yang dilihat gagal menepati status sebagai penjaring terbaik Liga Jordan.
Apa tidaknya, betapa ramai yang benar-benar kecewa dengan ketumpulan penyudah penyerang bertubuh sasa yang mesra disapa Pak Ngah itu setakat ini, selain dia juga dilihat tak cukup pantas sebaik menyarung jersi no.18 bersama Kedah musim ini.
Selain mula dianggap 'scammer' oleh peminat fanatik Hijau Kuning gara-gara tag harganya mencecah RM1.9 juta yang tidak dianggap satu pembelian yang berbaloi dengan persembahan hambarnya setakat ini, ramai juga yang mendesak supaya Ronald Ngah segera digantikan dengan penyerang import baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula pada Mei depan.
Mengupas tentang ketajaman Kedah, Ramon berasa pelik dengan keputusan untuk meletakkan Syafiq Ahmad sebagai penggerak atau playmaker serangan di belakang Ronald.
Dengan kelincahan dan ketajaman penyudah terutamanya tandukan, Syafiq sebaiknya diletakkan sebagai penyerang untuk menerima hantaran, bukannya mencipta serangan.
"Meletakkan Syafiq sebagai pemain berperanan nombor 10, bukan perkara biasanya buatnya.
"Tetapi saya yakin dia akan lebih profilik pada masa depan," kata Ramon.
Ramon pernah berkhidmat bersama Cheng Hoe ketika membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.
Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya.
Kedah akan melayani kunjungan Melaka United pada 6 Mei depan untuk aksi ketujuh Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram