Kemenangan JDT penuh dramatik tapi bergaya, kata Hamidin


  • Podium
  • Ahad, 01 Mei 2022

Skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan kalah mati ACL selaku juara Kumpulan I dengan 13 mata.

KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) melakar sejarah sebagai kelab pertama Malaysia mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia (ACL), mampu menjadi pemangkin kepada moral pemain negara untuk mencatat kejayaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kejayaan itu yang meletakkan JDT setanding dengan kelab-kelab terbaik dari benua ini, juga diharap menjadi contoh terbaik kepada arena bola sepak negara.

"Terbukti dengan kerja keras serta perancangan yang baik seperti diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semuanya membuahkan hasil yang amat membanggakan.

"Kejayaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap permainan, kualiti dan mutu bola sepak negara seiring untuk bersaing dengan kelab daripada kuasa besar bola sepak Asia,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan kalah mati ACL selaku juara Kumpulan I dengan 13 mata, selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor semalam.

Hamidin berkata, kejayaan itu juga mampu menaikkan lagi semangat pemain JDT untuk melakar kejayaan pada pusingan seterusnya.

"Sememangnya ia kemenangan penuh dramatik tetapi cukup bergaya, membuktikan pemain-pemain cukup berdaya saing,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ACL, JDT, FAM, Hamidin Mohd Amin, Ulsan Hyundai, TMJ