Penyokong JDT punca kami mara — Mora


  • Podium
  • Ahad, 01 Mei 2022

Mora mendedikasikan kejayaan mara ke peringkat seterusnya dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC kepada penyokong JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora berterima kasih kepada para penyokong setia Harimau Selatan atas sokongan padu mereka sepanjang peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC.

Menurut Mora, sokongan yang diterima memberi semangat dan kelebihan buat anak buahnya sehingga mara ke peringkat 16 terakhir buat kali pertama dalam sejarah.

“Jelas sekali, kami sangat gembira, dan sejujurnya, amat sukar bagi saya untuk menggambarkan perasaan saya sekarang apabila kami akhirnya mencipta sejarah.

“Akhirnya, kami mesti mengucapkan terima kasih kepada peminat kami kerana tidak pernah gagal menyokong kami sepanjang enam perlawanan. Mereka membuat perubahan besar dalam kempen ini.

“Mereka adalah orang yang paling penting dalam bola sepak. Pengurus seperti saya, para pemain, kami datang dan pergi, tetapi peminat akan sentiasa berada di sini selama-lamanya, jadi kemenangan ini didedikasikan buat mereka,” katanya.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga minit ke-93, dan serangan bertubi-tubi pemain JDT pada minit-minit akhir permainan akhirnya membuahkan hasil apabila Park Yong-woo tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-94.

“Selepas gol hebat Leandro itu, kami tidak dapat menahannya dan itu hanya menunjukkan kepada anda betapa hebatnya pasukan Ulsan. Kita mesti ingat bahawa tahap yang mereka terdedah kepada minggu ke minggu, adalah berbeza sama sekali daripada kita,” tambah Mora.

“Setiap gol datang daripada kesilapan, saya tidak kisah bagaimana kami menjaringkan gol, pemain saya berhak mendapat pujian kerana kami mencetuskan kesilapan itu.

“Kami adalah kelab kecil, pasukan sederhana tetapi dengan kepercayaan yang tinggi. Pemain kami mempunyai hati dan fikiran yang luar biasa yang tidak pernah berputus asa sehingga saat-saat akhir dan atas sebab itulah kami diberi ganjaran pada lewat perlawanan.”

Seterusnya, pengendali yang berasal dari Mexico itu berikrar bahawa kejayaan pada Sabtu hanyalah petanda bahawa lebih banyak sejarah yang akan datang kelak.

“Akhirnya, kemenangan hari ini adalah hasil daripada benih yang dituai bertahun-tahun yang lalu.

“Jelas sekali sekarang saya gembira, tetapi saya mesti berterima kasih kepada semua pemain saya, keluarga saya, kelab kerana sentiasa mempercayai saya, dan sudah tentu, kakitangan di sebalik tabir yang hebat.

"Kelab sentiasa tahu bahawa kami mahu mencapai kemuncak ini, tetapi percayalah, ini adalah yang pertama daripada banyak lagi kemuncak yang datang dari JDT," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram