KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 buat kali pertama dalam sejarah sememangnya satu saat yang membanggakan bukan sahaja buat penyokong Harimau Selatan tetapi peminat bola sepak negara ini.
Kejayaan mengatasi gergasi Asia dalam Kumpulan I seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC semestinya satu perkara yang cukup indah buat para pemain JDT.
Walaupun boleh dianggap sebagai 'underdog', mereka berjaya membuktikan bahawa semangat dan impian mengatasi segala-galanya.
Paling mencuri tumpuan pastinya pemain muda, Arif Aiman Hanapi yang menampilkan persembahan menakjubkan di bahagian sayap pasukan.
Hantaran leret berbahaya olehnya pada minit ke-94 juga menjadi punca pemain Ulsan Hyundai tertampan bola ke gawang sendiri sekaligus menghantar JDT ke pusingan seterusnya.
Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Arif merupakan pemain muda paling berbakat atau 'wonderkid' yang pernah dimiliki negara dalam tempoh beberapa dekad lalu.
Arif melakukan debutnya bersama skuad utama JDT pada Mac 2020 ketika usia 17 tahun 10 bulan. Di kala pemain-pemain seusianya ketika itu ramai yang bertanding di Piala Presiden atau Piala Belia, Arif sudah beraksi bersama kelab terbaik di Malaysia.
Pada perlawanan menentang Felda United itu, Arif masuk pada minit ke-85 menggantikan Nazmi Faiz Mansor.
Walaupun hanya lima minit, Arif berjaya mencuri tumpuan dengan kelincahannya menghasilkan gerakan berbahaya yang mengancam kubu lawan pada minit-minit terakhir.
Selepas perlawanan itu, Arif mula mendapat kepercayaan Mora sehinggalah dia berjaya mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama hari ini.
Pada 2021 pula, Arif semakin menyinar dan mula menunjukkan belangnya dalam saingan Liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan.
Arif membuat penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya ketika menentang Thailand dalam Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.
Dia yang ketika itu masih berusia 19 tahun mendapat kepercayaan oleh pengendali negara ketika itu, Tan Cheng Hoe untuk berada dalam kesebelasan utama.
Pada tahun itu juga, persembahan mantap Arif dalam saingan liga membolehkannya dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2021).
Dia turut menggondol anugerah penyerang terbaik dan pemain muda terbaik pada edisi tersebut.
Berdasarkan persembahannya pada awal musim ini, peluangnya tampak cerah untuk mengulangi kejayaan itu pada hujung musim ini.
Bakal mencecah usia 20 tahun 4 Mei ini, Arif masih belum mencapai puncak prestasinya dan mempunyai masa yang panjang untuk berkembang menjadi pemain yang lebih baik.
Dalam tempoh beberapa tahun lagi, mungkin kita akan saksikan kelahiran seorang bintang di bahagian serangan seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Zainal Abidin Hassan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram