'Saya umum minggu depan', Mahdzir Khalid ulas teka-teki pertahan Naib Presiden Umno


  • Politik
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Mahdzir masih belum memberi kata putus sama ada bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

SETELAH Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini, rakyat kini menunggu jawapan daripada dua lagi penyandang yang masih berteka-teki.

file7ogv2dhkrl4vser8jwl

Mohamed Khaled sah bertanding bagi mempertahankan jawatannya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum memutuskan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi disandangnya itu pada pemilihan Umno kali ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, jika beliau bertanding dalam pemilihan itu, hanya satu jawatan yang menjadi pilihannya iaitu sebagai ketua bahagian.

Tegas bekas Perdana Menteri itu, jika beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden, beliau tidak mahu lagi terus campur tangan dalam hal berkaitan parti.

file74ditdy5yc2y0i7te43

Status Mahdzir (kiri) dan Ismail Sabri (kanan) sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno masih belum diketahui.

Sementara itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau tidak boleh mengulas lebih lanjut berhubung keputusan untuk mempertahankan jawatan itu.

Hal ini kerana bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu masih berada di luar negara ketika ini.

"Tapi, tunggu minggu depan saya akan umum," katanya ringkas kepada Majoriti.

Sekiranya benar Mahdzir akan bertanding semula jawatan itu, beliau tentunya harus berusaha lebih keras bagi meyakinkan ahli-ahli Umno untuk memilihnya semula.

Ini susulan beliau kehilangan kerusi Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Turut sah bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno adalah Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Hasni Mohamad.

Antara calon lain dijangka bertanding jawatan sama termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Umno secara rasminya memulakan persidangan peringkat cawangannya, dengan agenda pemilihan parti bermula 1 Februari hingga 26 Februari.

Pada masa sama, pemilihan kepimpinan peringkat Umno bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan berlangsung pada 18 Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram