AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa, beliau masih belum memutuskan sama ada akan bertanding dalam pemilihan Umno yang dijadual bulan ini.
Namun, Naib Presiden Umno itu berkata, jika beliau bertanding dalam pemilihan itu, hanya satu jawatan yang menjadi pilihannya iaitu sebagai ketua bahagian.
"Itu keputusan saya setakat ini. Peringkat nasional masih belum diputuskan," katanya kepada Majoriti.
Tegas Ismail Sabri, jika beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya ketika ini, beliau tidak mahu lagi terus campur tangan dalam hal berkaitan parti.
Tengku Zafrul (kanan) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada Januari lalu.
Ketika ditanya pandangannya mengenai hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada pemilihan parti, Ismail Sabri bersetuju memandangkan beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Jelas Ismail Sabri, ahli parti berhak memilih dan dipilih dalam sebarang jawatan berdasarkan perlembagaan Umno.
"Dari segi kelayakan mengambil kira jawatan sebagai menteri, pendidikan, pengalaman pekerjaan, menteri kewangan, dan pegawai bank. Syarat bertanding sudah pun mencukupi.
"Selagi beliau memenuhi syarat bertanding dalam Umno, maka bagi saya beliau boleh bertanding," katanya.
Antara pemimpin Umno yang melakukan sesi bergambar ketika PAU 2022 pada Januari lalu.
Umno secara rasminya memulakan persidangan peringkat cawangannya dengan tumpuan kepada agenda pemilihan parti yang bermula 1 Februari hingga 26 Februari, manakala bagi pemilihan kepimpinan peringkat Umno bahagian dan MKT, akan berlangsung pada 18 Mac depan.
Sementara itu, sumber pemimpin parti memaklumkan, dua penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid hampir pasti mempertahankan semula jawatan disandang pada pemilihan kali ini.
Mohamed Khaled kini adalah Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, manakala Mahdzir adalah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap yang disandangnya sejak 2013. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram