KETUA Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa pengeluaran besar-besaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin tidak perlu dan hanya memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.
Beliau sempat menyuarakan beberapa isu yang menyentuh perihal kegusaran rakyat semasa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
Antaranya beliau menyarankan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar iaitu kepada mana-mana individu yang kurang berkemampuan.
Asyraf Wajdi bertemu Anwar Ibrahim.
Jelasnya, pengeluaran wang tersebut tidak perlu dilakukan besar-besaran memandangkan kerajaan telah pun mengumumkan bantuan tunai menjelang penggal persekolahan berkenaan.
"Walaupun ada yang sinis memerli dengan mempertikaikan perjuangan kami waktu kerajaan terdahulu agar dibenarkan pengeluaran KWSP buat kali terakhir sehinggakan kerajaan waktu itu akur dengan tekanan rakyat.
"Namun pada kali ini, pandangan peribadi saya mungkin tidak perlu pengeluaran besar-besaran secara pukal. Memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dan bersasar," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai tidak bersetuju jika KWSP dikeluarkan secara bersasar kerana majoriti rakyat kini terhimpit dengan kesempitan ekonomi.
"Kami terdesak sekarang ini Datuk, hutang bank dah bertunggak, bulan tiga anak nak sekolah, kena pakai duit untuk belanja sekolah," kata Greece Andrew.
"Kami nak ambil untuk bayar hutang rumah yang bunga makin tinggi, kalau boleh keluar KWSP untuk selesaikan terus dekat bank," ujar I'eeda Ahmad.
"Lain kali minta keluar RM10,000 senang lulus, lagi pun kita bukan dalam PKP sampai nak mintak RM50,000," jelas Muhamad Asuaan Jamaluddin.
"Barang sekarang semua mahal satu minggu beli barang dekat tiga ratus, dapat gaji tak cukup, harap dapatlah keluar duit KWSP untuk kali ini," luah Khatijah Koa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram