Antara Shahrizat Jalil-Noraini Ahmad, siapa paling layak teraju Wanita Umno? Pro & kontra perlu diambil kira — Pakar


  • Politik
  • Khamis, 09 Feb 2023

Kedudukan Ketua Wanita Umno bakal menjadi rebutan Shahrizat Jalil dan Noraini Ahmad yang akan ditentukan menjelang sesi pemilihan Mac depan.

MENJELANG pemilihan Ketua Wanita Umno yang bakal berlangsung pada Mac nanti, tampuk kepimpinan yang diketuai oleh Datuk Seri Noraini Ahmad ketika ini dikatakan bakal disaingi rapat bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang disebut-sebut lebih layak menerajui sayap parti politik berkenaan.

Konflik yang melanda Wanita Umno baru-baru ini dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemimpin bahagian sayap terhadap Noraini yang didakwa gagal memartabatkan perjuangan wanita.

Noraini Ahmad merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding serta mempertahankan kerusi Parlimen P147 Parit Sulong pada PRU ke-15.

Anak jati Parit Sulong itu dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam barisan Kabinet di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dan pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari 2019 hingga 2020.

Sementara itu, bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Jalil juga pernah memegang jawatan Ketua Wanita Umno dari 2009 hingga 2018.

Penglibatan beliau dalam arena politik bermula pada 1982 apabila beliau dipilih sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kepong Baru pada Pilihan Raya Umum 1995.

Memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai, beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Parlimen, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada 1995.

Profil dan pengalaman kedua-dua calon parti itu tidak boleh disangkal lagi dengan masing-masing sudah bertapak lama dalam arena politik negara.

rusdi

Penganalisis politik, Rusdi Omar mempunyai pandangan tersendiri berkenaan pemilihan Ketua Wanita Umno. — Agensi

Namun, berdasarkan penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar, beliau mempunyai pendapat tersendiri mengenai posisi kedua wakil calon tersebut yang dijangka merebut tempat sebagai Ketua Wanita Umno yang baharu.

Berikut merupakan pro-kontra yang disuarakan oleh beliau dalam satu sesi temu bual bersama wartawan Majoriti.

1. Gaya kepimpinan

Ciri kepimpinan yang dimiliki Shahrizat dikatakan lebih berpengalaman dengan beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Wanita Umno hampir sembilan tahun.

Jasa dan sumbangan sepanjang bergelar Puteri Umno satu ketika dahulu mendapat sokongan ramai penyokong yang mahukan beliau kembali memegang takhta.

Hal itu disuarakan oleh Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, yang menegaskan seramai 147 Ketua Wanita Umno Bahagian sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Shahrizat sebagai ketua.

Menurutnya, reputasi dan legasi Shahrizat semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini banyak meninggalkan kesan di samping menjadi idola buat pemimpin wanita.

Bagaimanapun, jelas Rusdi, pemimpin dalaman parti perlu memilih untuk mengekalkan pendirian bersama Noraini meskipun beliau baru sahaja memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Umno.

"Walaupun masih lagi baharu, kredibiliti yang dimilki tidak boleh dipandang rendah dan beliau ada kelebihan dari segi undian golongan generasi muda yang lebih mahukan pembaharuan berbanding idea lama.

"Tidak salah sekiranya beliau diberikan lebih masa untuk membuktikan sumbangan kepada parti dan wanita Umno, jadi pendapat saya seeloknya kita terus pandang ke hadapan dan usah kembali semula pada calon dahulu," katanya kepada Majoriti.

2. Kontroversi

Berdasarkan penjelasan yang diberi penganalisis, isu kontroversi kedua-dua individu terbabit dilihat memihak kepada Shahrizat Jalil dengan beliau sebelum ini dikejutkan dengan isu penyelewangan membabitkan isu skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) pada 2011.

Ahli keluarga Shahrizat Jalil turut didakwa terpalit dengan isu skandal tersebut dan ia sekali gus menjadikan kelebihan memihak kepada Noraini Ahmad yang dikatakan lebih 'bersih' soal isu mahkamah.

"Kontroversi Shahrizat sebelum ni memang tak dapat dinafikan dan hingga ke hari ini ia masih menjadi bualan hangat dalam kalangan pengkaji politik dan pihak pembangkang.

"Bagi saya, Noraini mempunyai sedikit kelebihan jika diukur dari sudut itu dan apa Shahrizat perlu berani tampil kehadapan dan bersihkan nama beliau jika ingin sekali lagi mendapat kepercayaan ramai," ujarnya.

3. Hubungan baik sesama ahli politik

Hubungan baik sesama wakil politik mahupun rakyat boleh dikatakan tidak mempunyai jurang perbezaan ketara bagi kedua-dua calon berkenaan.

"Sudah menjadi kebiasaan wakil menteri turun padang untuk menghulurkan bantuan dan sebagainya, namun Shahrizat mungkin lebih berpengalaman luas dalam bidang politik.

"Isu terpalit berkaitan dirinya sebelum ini dengan Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia dan beberapa lagi perkara membuktikan beliau amat disanjungi oleh barisan ketua wanita lain.

"Kedua-duanya boleh dikatakan sama rata dengan Noraini juga tiada sebarang isu dengan pihak penyokong mahupun pembangkang, cuma apa yang membezakan hanyalah pengalaman yang mungkin membuatkan seseorang itu mendapat sokongan ramai.

4. Visi & Pencapaian

Mengulas lanjut mengenai pencapaian kedua-dua figura itu, Rusdi Omar berkata, beliau tidak boleh menilai daripada perkara yang lepas, sebaliknya mahu fokus dengan apa pelan dan perancangan yang baharu.

"Saya lebih suka gaya dan apa yang dilakukan Noraini ketika ini kerana beliau mempunyai banyak idea baharu yang cuba ingin diketengahkan.

"Berbanding Shahrizat, beliau sebelum ini sudah diberikan peluang dan jika kembali memerintah, ditakuti akan menyebabkan parti itu mundur ke belakang dan tiada perubahan baharu," katanya.

5. Pendirian & Ketegasan

Di sebalik kejayaan sesebuah parti, ia pastinya didokong kuat oleh ketegasan dan pendirian yang diterapkan kepada anak-anak buah oleh individu bergelar ketua.

Shahrizat yang memiliki pengalaman meluas dalam Parti Umno, dikatakan lebih tegas dan lantang bersuara dalam mempertahankan hak wanita di dalam negara.

Namun, perkara itu disangkal oleh penganalisis yang berpendapat beliau lebih layak sekiranya dilantik sebagai penasihat bukannya Ketua Wanita Umno.

"Memang beliau lantang bersuara sebelum ini tetapi jika parti Umno inginkan pembaharuan, sifat seperti itu boleh diterapkan pada kedudukan seorang penasihat.

"Shahrizat lebih layak dilantik sebagai penasihat dan ketua pula dianggotai daripada calon lain yang boleh membentuk satu gandingan dan idea mantap untuk membawa Umno ke hadapan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram