Umno sudah hilang hala tuju — Ismail Sabri


  • Politik
  • Ahad, 05 Feb 2023

Ismail Sabri melihat banyak kekeliruan berlaku yang akhirnya membuatkan hala tuju Umno sudah tidak berapa jelas ketika ini.

KEMELUT Umno sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehinggalah episod pemecatan dan penggantungan beberapa ahli parti yang popular menjadi bualan dalam kalangan pemerhati politik.

Malah, ada yang menyatakan bahawa, kedudukan parti keramat Melayu itu sudah semakin goyah dan mungkin akan semakin kurang mendapat sokongan pengundi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Umno sekarang penuh kekeliruan dengan keputusan yang tidak popular.

"Umno perlu melihat dan jangan terpisah dengan rakyat. Apa sahaja keputusan tak boleh dilihat secara dalaman sahaja. Mesti lihat pandangan orang luar.

"Kita rasa apa kita buat mendapat sokongan ahli parti. Sebaliknya, sokongan ahli parti sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya. Ahli parti mungkin 30 peratus sahaja daripada jumlah pengundi di kawasan bertanding.

"Apa yang berlaku hari ini adalah seolah-olah kita dengar pandangan kita sahaja," katanya ketika temu bual bersama Majoriti.

file7ogucjitigyigdfpjwm

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 diadakan pada Januari lalu.

Menurut Ismail Sabri, komen negatif banyak diberikan ketika Khairy Jamaluddin dipecat dan hanya 10 peratus yang memberi komen positif.

Disebabkan itu, beliau melihat banyak kekeliruan berlaku yang akhirnya membuatkan hala tuju Umno sudah tidak berapa jelas.

"Pemecatan dan penggantungan juga memberi persepsi buruk dan mengurangkan sokongan. Sebagai contoh, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan beliau menubuhkan PKR.

"Sebahagian daripada orang Umno mengikut beliau. Apabila Tan Sri Muhyiddin dipecat, beliau juga menubukan parti dan mempunyai pengikut yang menyebabkan kurangnya sokongan dalam Umno.

"Malah, ketika PRU15, Muhyiddin bersama PAS mendapat 55 peratus undi Melayu sedangkan Umno hanya 33 peratus," katanya.

Undang persepsi buruk, imej parti terganggu

file7f3pqkschqv1kw1p0ix9

PAU 2020 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) pada Mac 2021.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, tindakan memecat dan menggantung ahli juga membuatkan imej parti terjejas, seperti yang dilakukan terhadap Khairy yang mempunyai pengikut orang muda.

Jelasnya, tindakan itu membuatkan orang muda mempunyai persepsi kepada parti, yang mana sesiapa bersuara lantang akan dipancung.

"Itu persepsinya. Persepsi hari ini ialah siapa yang berani lantang, akan diambil tindakan. Suara demokrasi sudah tidak ada dalam Umno.

"Disebabkan itu, kalau mengundang persepsi buruk, perkara itu akan menjadi kesan jangka panjang kepada parti terutamanya melibatkan golongan muda," katanya.

Ujarnya, golongan muda sebelum ini lebih kepada hak bersuara dan kebebasan.

Tambahnya, jika ada sebarang keputusan lari daripada kehendak mereka, tidak ada yang akan menyertai Umno. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram