'Terserah kepada mereka', Ismail Sabri sedia tanggung risiko lantang kritik Umno


  • Politik
  • Ahad, 05 Feb 2023

Ismail Sabri berkata, seseorang perlu memberi pandangan yang membina kepada parti dan perkara itu ada risiko yang perlu ditanggung.

KEPUTUSAN mengejut yang dibuat Umno dengan memecat dan menggantung ahli parti popular seperti Khairy Jamaluddin masih menjadi bualan dalam kalangan pemerhati politik tempatan.

Baik dalam Umno sendiri mahupun penyokong parti pembangkang, isu pemecatan bekas ketua pemuda dan penggantungan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar itu mendapat respons negatif.

Antara pemimpin Umno yang lantang bersuara mengenai perkara itu adalah Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menganggap tindakan tersebut sebagai bertentangan dengan proses undang-undang dan prinsip keadilan.

file7ohim30xpk36emi3fqr (1)

Antara pemimpin Umno pada sesi bergambar ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, Januari baru-baru ini.

Malah, disebabkan kelantangannya bersuara mengenai perkara itu juga membuatkan timbul khabar bahawa dirinya telah dikenakan tindakan digantung daripada parti, namun ia dinafikan Ismail Sabri.

Bagaimanapun bagi bekas perdana menteri ini, beliau bersedia menerima sebarang risiko susulan keterbukaannya itu kerana menganggap seseorang perlu bercakap berkenaan tindakan yang dirasakan tidak sehaluan.

"Kalau semua tidak mahu bercakap, idea dalam parti tidak boleh dikongsi. Lagipun, presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berulang kali mengatakan yang beliau meraikan perbezaan pendapat.

"Pendapat saya pula berbeza. Dia boleh pertimbang kalau salah, dia tidak perlu ambil. Tetapi kalau positif untuk parti, dia boleh ambil.

"Kalau semua tak mahu bercakap, parti tak tahu apa sebenarnya yang perlu dilakukan. Kita tegur dan terserah kepada mereka (untuk terima atau tidak)," katanya dalam temu bual bersama Majoriti.

file7ohgix75l9i39p3nfqr

Antara perwakilan dan pengunjung pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Januari lalu. — Bernama

Menurut Ismail Sabri, seseorang perlu memberi pandangan yang membina kepada parti dan tidak dinafikan tindakan itu ada risiko yang perlu ditanggung.

Dan tambah Ismail Sabri, ketika ini, beliau sudah bersedia untuk menanggung sebarang risiko.

"Asalkan risiko terhadap saya adalah berdasarkan proses perundangan, saya akan terima," katanya.

Terdahulu, tular spekulasi bahawa Ismail Sabri telah dikenakan perintah penggantungan kerana mempersoalkan keputusan MKT memecat dan menggantung beberapa pemimpin Umno.

Namun, beliau menolak perkara tersebut kerana ia tidak dibangkitkan pada mesyuarat majlis tertinggi parti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram