UMNO masih lagi belum menerima sebarang surat rayuan daripada beberapa ahlinya selepas tindakan pembersihan parti dilakukan pada bulan lalu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia antara lain termasuk ahli yang digantung selama enam tahun iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Datuk Maulizan Bujang.
Memetik laporan media tempatan, perkara itu dibangkitkan selepas Umno Johor meminta dua individu tersebut mengemukakan surat rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.
Rusdi Omar
Tampil mengulas, Prof Dr Rusdi Omar menegaskan bahawa, sekiranya individu yang diambil tindakan masih mahu menguatkan Umno, maka mereka disarankan untuk mengemukakan rayuan.
Jelas penganalisis politik itu, sekiranya mereka hanya memikirkan kepentingan diri dan mahu menyertai parti lain, maka keputusan Umno menggantung kedua-duanya adalah keputusan benar.
"Mereka sepatutnya memikirkan masa depan Umno, tapi tengok keadaan sekarang ni mereka hanya memikirkan kepentingan diri. Itu yang menjadi masalah," katanya kepada Majoriti.
Hishammuddin (tengah) antara ahli yang digantung Umno selama enam tahun.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, individu yang digantung dan dipecat parti sepatutnya perlu berani bersuara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan.
Sebaliknya, katanya, kenyataan dikeluarkan oleh sesetengah individu yang diambil tindakan itu dilihat berbeza selepas PRU15.
"Maka di situ, kita melihat bahawa pemimpin yang digantung atau dipecat ada kepentingan dan agenda masing-masing.
"Kalau betul nak perkuat dan harmonikan Umno, mereka perlu tetap bersama dan buat rayuan, tapi mereka lebih ke arah mahu terus tinggalkan Umno.
"Biasalah kalau kalah (PRU) semua nak tunding jari kepada Presiden. Sepatutnya semua kena bertanggungjawab bila kalah supaya masing-masing bermuhasabah diri. Tapi, kepimpinan Umno dilihat kurang sedikit menangani isu ini berbanding PAS, PKR dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)," jelasnya.
Tambahnya, Umno perlu bergerak ke depan dan mengambil hati golongan muda termasuk menyingkirkan pemimpin yang berdepan masalah rasuah dan tiada integriti.
"Tapi, yang menjadi masalah dalam Umno sekarang ini adalah siapa berkuasa dia akan disokong.
"Apa yang perlu Umno buat sekarang adalah menyatupadukan ahli-ahlinya dan rakyat Malaysia secara amnya. Kalau tak, saya tak nampak Umno boleh survive," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram