SELEPAS lebih seminggu dipecat oleh Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan dia sedang dalam pertimbangan untuk membuat kemunculan semula bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Menurut Khairy, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada tawaran yang diberikan kepadanya termasuk jawatan menteri besar jika parti itu menang.
"Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan ada juga perbincangan mengenai peranan itu.
"Tetapi, jika saya membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik mana boleh dipilih dalam karier politik saya.
"Jika saya mahu mengambil bahagian dalam PRN, saya perlu memutuskan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi," katanya.
Khairy berkata, pengalaman di peringkat negeri akan menambahkan lagi ilmunya apatah lagi sebelum ini dia pernah pernah bergelar bekas ahli parlimen Rembau tiga penggal dan mengetuai tiga kementerian berbeza.
"Perkara ini akan membantu saya memahami kerajaan tempatan, serta hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
"Jadi, saya rasa ia satu peluang yang baik. Tetapi kemudian, saya perlu menimbang keinginan untuk melompat parti atau tidak," katanya.
Khairy juga menyatakan yang dia tidak berhasrat untuk menubuhkan sebarang parti baharu.
"Saya melihat tiada ruang untuk parti baharu di Malaysia. Walaupun perkara itu satu pilihan, tetapi tidak mungkin saya akan melakukannya," katanya.
Pada Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno memecat Khairy dan bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Noh Omar.
Antara anggota yang digantung selama enam tahun ialah Shahril Hamdan, Datuk Seri Hishammuddin, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Shariff.
Tindakan diambil terhadap pemimpin Umno ini kerana mereka disifatkan mengkritik presiden parti dan bekerjasama dengan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram