KURANG dari dua bulan selepas meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Disember lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengumumkan untuk keluar parti.
Langkah drastik itu dilakukan bekas Perdana Menteri tersebut bersama 12 lagi ahli lain pada Jumaat.
Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir pada Ogos 2020, selepas keahliannya di Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digugurkan pada Mei 2020.
Beliau juga mengumumkan keluar dari Umno pada Februari 2016.
Tindakan Dr Mahathir yang keluar parti sebelum menyertai parti baharu itu disifatkan rakyat sebagai menjengkelkan, selain muak dengan permainan politik bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Keahlian Dr Mahathir sebagai ahli Bersatu dilucutkan pada Mei 2020.
Menjengah ke ruangan komen, Majoriti mendapati, langkah negarawan itu keluar parti dihujani dengan kecaman.
Hazira Gra Hamzah berkata: "Dia tubuh Umno baru, dia keluar. Dia tubuh Bersatu, dia keluar. Dia tubuh Pejuang pun dia keluar. Apa dia nak sebenarnya? Kasihannya tokoh negarawan macam ini."
Berpendapat sama, Az MY III berkata: "Sendiri buat parti, sendiri keluar. Kali ini siapa pula akan dipersalahkan?"
Tulis Mohd Anuar: "Tubuh Bersatu, dia keluar. Lepas tu tubuh Pejuang, dia keluar juga. Elok. Duduk rumahlah sebab zaman dah berlalu. Sementara ada saki-baki, berundurlah dengan cara terhormat."
Dr Mahathir ketika berucap dalam satu majlis makan malam bersama ahli Umno pada April 2004.
Sementara itu, ada juga yang tidak menolak kemungkinan beliau akan menubuhkan parti baharu kelak.
Kadir Ismail berkata: "Mungkin akan tubuh lagi parti baharu."
Tambah Baron Gustavo: "Tunggulah nanti dia buat parti baharu. Selagi nyawa dikandung badan. Politik."
Pada masa sama, terdapat pengguna media sosial yang menggesa Dr Mahathir supaya bersara dari dunia politik dan melakukan aktiviti lebih bermanfaat.
Jentayu Redah berkata: "Tun, berehatlah. Tak perlu lagi fikir politik. Sisa masa yang ada ini boleh dimanfaatkan setelah ALLAH izinkan Tun untuk masih ada lagi di masa ini. Biarlah Datuk Seri Anwar Ibrahim uruskan negara. Doa semoga Malaysia bangkit untuk terus maju."
Ujar Zaini Kasim: "Duduklah santai bersama keluarga. Rehatkan minda lagi baik daripada memikirkan politik. Biar yang muda uruskan negara, yang tua jadi mentor jika diperlukan."
Tambah Hj Abu Bakar Mohamad: "Tak apa Tun berhenti semua aktiviti parti politik dan bertandinglah untuk jadi ahli jawatankuasa masjid. Buat amal selagi nyawa belum sampai ke halkum."
Terdahulu, Muafakat Nasional (MN) dijangka mengadakan perjumpaan dengan Dr Mahathir, yang Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) pada minggu depan.
Ahli Majlis Dewan Tertinggi MN, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilapor sebagai berkata, dalam perjumpaan itu nanti, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa akan berbincang dengan Dr Mahathir berhubung hala tuju pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, dan usaha mengukuhkan penyatuan orang Melayu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram