PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini menyaksikan pelaksanaan Undi18 buat kali pertama dalam sejarah negara selepas diluluskan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Memandangkan PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang melaksanakan pendaftaran automatik bagi pengundi berusia 18 tahun, berlaku pertambahan 173,177 pengundi muda antara 18 dan 20 tahun di negeri itu. Mereka mewakili 6.67 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,597,742 pengundi.
Sebagai pengundi kali pertama terlibat dalam pilihan raya, pastinya ada cerita menarik yang mahu dikongsikan pengundi muda ini apatah lagi pada usia yang masih hijau untuk didedahkan kepada dunia politik.
Ikuti apa kata mereka tentang pengalaman turun mengundi buat kali pertama.
Pelajar, A. Sanjena, 18, Johor Bahru.
"Saya berasa sedikit gementar kali ini sebab ini merupakan kali pertama mengundi dan saya pergi bersama ibu bapa di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Sutera.
"Saya ingatkan saya akan mengundi di saluran yang sama dengan ibu bapa tetapi kami berpisah dan ini membuatkan saya gementar.
"Mujur pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat ramah dan menjelaskan kepada saya cara untuk mengundi dan dalam tempoh beberapa minit saja proses mengundi selesai.
"Dengan pengalaman ini, saya mahu melakukannya lagi pada pilihan raya umum akan dating.
"Saya percaya golongan belia perlu mempraktikkan hak mereka sebagai pengundi untuk memilih kerajaan yang akan membawa perubahan positif kepada negara."
M. Vahsnavi, 19, Tiram.
"Ini merupakan pengalaman menarik sebagai pengundi. Saya berharap dapat mengetahui lebih banyak tentang politik pada masa depan.
"Saya sebenarnya enggan untuk pergi mengundi kerana bekerja tetapi ibu bapa saya mendesak agar melaksanakan tanggungjawab ini dan saya perlu mengundi di DUN Tiram.
"Saya amat gembira dapat melalui pengalaman ini dengan lancar."
Nurfarisha Wahidah Mostapa@Zakaria, 19.
"Sebagai pengundi kali pertama, saya amat gembira kerana menjadi sebahagian proses memilih kerajaan baharu di Johor.
"Saya selalu mendengar tentang orang ramai pergi mengundi tetapi saya tidak boleh mengundi sebelum ini. Jadi saya amat teruja kerana akhirnya dapat mengundi.
"Saya juga amat takut kerana tidak tahu ke mana mahu pergi dan apa yang perlu dibuat tetapi ramai pegawai SPR yang membantu. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengundi."
Pelajar jurusan undang-undang, Lim San Shien, 21, Johor Bahru.
"Saya amat teruja untuk menyumbang dalam pemilihan wakil rakyat di DUN Perling.
"Saya mengundi dua kali di kampus Universiti Malaya dan prosesnya hampir sama.
"Pegawai SPR amat profesional dan membantu dalam proses mengundi."
Pelajar STPM, P. Tarshine, 18, Muar.
"Saya amat bimbang tentang Covid-19 tetapi sebagai rakyat saya perlu menunaikan tanggungjawab dan peranan saya.
"Saya keluar awal untuk mengundi bersama dua kakak saya untuk mengelakkan kesesakan.
"Saya juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan membawa sanitiser sendiri. Selepas mengundi, saya berasa sangat bangga." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram