SPR wajib pastikan jumlah pengundi ‘lebih kurang sama banyak’


  • Politik
  • Ahad, 13 Feb 2022

KAKITANGAN SPR membuat persiapan terakhir untuk pengundian awal pada PRN Sarawak 2016. —The Star

KETIDAKSAMARATAAN jumlah pengundi antara kawasan sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), bakal mengurangkan kuasa dimiliki oleh pengundi muda termasuk yang baru didaftarkan.

Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, perbezaan ketara jumlah pengundi antara kawasan merupakan isu besar yang perlu ditangani jika negara mahu mencapai kematangan dalam politik.

Beliau berkata, penglibatan lebih ramai anak muda dalam pilihan raya melalui pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik sahaja masih belum mencukupi, untuk mengatakan bahawa sistem politik negara sudah sepenuhnya matang.

"Sebagai contoh, ada seorang anak muda dari Tenang, Segamat yang bernama Siti Nurul dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Jadi dia terpaksa pindah ke Skudai (Johor).

"Bilangan pengundi di Skudai adalah tiga kali lebih banyak daripada pengundi di Tenang. Jadi Siti Nurul ini pindah ke skudai, nilai kertas undinya merosot menjadi satu pertiga sahaja.

"Itu menjadi masalah besar kerana dia yang tinggal di kawasan bandar, suaranya menjadi hanya satu pertiga daripada kalau dia berada di kampung. Jadi, masalah yang dihadapinya tidak akan mendapat perhatian yang setimpal,” katanya dalam satu temu bual bersama pemberita.

cabaran Baharu

CHIN Huat berkata, pembabitan lebih ramai anak muda dalam pilihan raya melalui pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik masih belum cukup untuk menyifatkan bahawa sistem politik negara sudah sepenuhnya matang.

Chin Huat berkata, keperluan untuk memastikan jumlah pengundi yang sama rata itu diperuntukkan di dalam Perkara 113(2) dan Seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib untuk memastikan jumlah pengundi di kawasan pilihan raya adalah ‘lebih kurang sama banyak’ dan mengurangkan pembahagian tidak sekata atau ‘malapportionment’.

Chin Huat berkata, isu kesamarataan jumlah pengundi antara kawasan juga tidak lagi boleh dikaitkan dengan isu melemahkan kuasa orang Melayu, kerana pelaksanaan pendaftaran automatik Undi18 telah meningkatkan penglibatan kaum Melayu dalam proses pilihan raya.

"Dengan pelaksanaan pendaftaran automatik, bilangan peratusan orang bukan Melayu dalam jumlah pengundi telah merosot. Ini kerana bila dijumlahkan semua pengundi terutamanya bilangan anak muda yang peratusan Melayu lebih tinggi, Melayu akan menjadi majoriti di kebanyakan tempat," katanya.

Jelas beliau, isu ketidaksamaan kuasa dalam kertas undi kini telah beralih daripada persaingan antara kaum kepada antara penduduk bandar, yang secara puratanya lebih muda dan penduduk luar bandar yang secara umumnya sudah berusia.

Isu kaum, agama akan pudar

Kadar pembandaran yang sangat tinggi khususnya di Semenanjung Malaysia, menurut Chin Huat juga menyebabkan anak muda yang merupakan majoriti penduduk di bandar lebih memberikan perhatian terhadap masalah berkaitan kualiti hidup mereka.

Beliau berkata, antara isu membelenggu generasi muda di bandar ialah peningkatan kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, peluang pekerjaan terhad, harga rumah tidak mampu milik termasuk peningkatan jurang kekayaan.

"Jadi kesemua masalah ini akan menjadi isu yang akan dipersoalkan dan semakin hari kita akan lihat isu kaum itu menjadi pudar.

"Ia bukan disebabkan orang menjadi semakin liberal, tetapi kerana isu kualiti kehidupan dan kos sara hidup ini ia merentas kaum, agama dan bahasa," ujarnya.

Political analyst Prof Wong Chin Huat from the Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia (JCI).

PROFESOR Dr Wong Chin Huat

Dalam pada itu, Chin Huat berkata, hanya separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi muda dan baharu yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diperlukan untuk keluar mengundi bagi membolehkan kumpulan tersebut menjadi elemen penentu.

Beliau berkata, jangkaan itu juga mengambil kira kemungkinan kadar peratusan keluar mengundi pengundi lama adalah lebih kurang sama seperti dalam PRN Melaka iaitu sekitar 65.85 peratus.

"Kita mengandaikan jika separuh pengundi baharu mengundi manakala kadar pengundi lama sama seperti di Melaka, peratusan keluar mengundi akan menjadi hanya 60 peratus sahaja.

"Jadi, jumlah itu pun sudah cukup untuk membawa satu kesan besar kerana sebahagian daripada pengundi yang akan menentukan keputusan adalah pengundi baharu," katanya.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Wong Chin Huat, Undi18, PRN Johor, SPR, pengundi