Pengundi muda mahu kepimpinan bersih, bebas rasuah


  • Politik
  • Ahad, 13 Feb 2022

PAS khuatir sekiranya pengundi muda, terutama yang berusia 18 tahun belum bersedia untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang. —AZLINA ABDULLAH/THE STAR

PENGUNDI muda di Johor dilihat memberi isyarat jelas bahawa mereka mahukan kepimpinan yang bersih, berintegriti serta tidak terlibat dengan aktiviti rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, bagaimanapun parti Islam itu sejujurnya risau sekiranya pengundi muda, terutama yang berusia 18 tahun belum bersedia untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang.

Justeru, beliau menegaskan, PAS di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang sentiasa memberi penekanan kepada kematangan politik.

"PAS sendiri juga sentiasa berpegang kepada aspek berkebajikan, dan ini perlu dilihat secara lebih luas bukan semata-mata hanya hantar bantuan depan pintu.

"Ini menyentuh soal bagaimana kita membina negara, kita menyantuni adik-adik ini (pengundi muda) dan itu antara segmen yang kami cuba bawakan kepada adik-adik ini termasuk juga dari segi rekreasi seperti penglibatan dalam e-sport.

"Selain itu, mereka ini masih tertarik untuk membentuk negara Malaysia yang sejahtera seperti yang kita katakan mereka nak yang berintegriti, bersih dan sebagainya," kata beliau ketika ditemubual baru-baru ini.

cabaran Baharu (1)

AHMAD Nawfal berharap PAS akan mengemukakan lebih ramai calon muda pada PRN Johor, sekali gus mempertimbangkan peningkatan sekurang-kurangnya 30 peratus pada PRU15 akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad Nawfal yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, parti-parti komponen dalam PN turut memainkan peranan penting, dalam membimbing generasi muda ke arah hala tuju politik yang lebih bersifat segar dan bebas salah laku.

Beliau menambah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seharusnya tidak dijadikan sebagai medan 'ujian', sebaliknya peluang buat pengundi muda untuk menterjemahkan hasrat mereka dalam bentuk undi, jika benar selama ini kumpulan itu sudah muak dengan keadaan politik semasa.

"Dalam erti kata, jika mereka masih ada ragu-ragu, khuatir atau masih ada rasa tak nak keluar mengundi, maka banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh semua parti politik.

"Parti-parti politik perlu berperanan ke arah itu untuk mengerakkan anak-anak muda keluar mengundi.

"Sekiranya (PRN Johor) tidak capai pada satu angka atau peratusan yang baik, maka jauh lagi peluang untuk kita kata, adik-adik ini (boleh) mencorak negeri dan negara kita," ujarnya.

PAS dan PN, kata beliau lagi, akan membawa pendekatan yang lebih kemas, teliti serta bekerja dengan bijak pada PRN Johor bagi memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan boleh dimenangi, sekali gus memberi peluang kepada gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ahmad Nawfal Mahfodz

AHMAD Nawfal mengulas tentang Undi18.

Mengenai pertembungan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada PRN tersebut pula, Ahmad Nawfal menegaskan, perkara itu tidak akan mengakibatkan berlaku permusuhan antara kedua-dua parti berkenaan.

Malah katanya, PAS kekal komited untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), dan pada masa sama mempertahankan PN.

"Dalam erti kata, kita tidak masuk PRN ini sehingga pertembungan antara Umno dengan PAS menyebabkan bercerai-berai. Kita boleh anggap itu sebagai satu lapangan yang baik.

"Sahabat-sahabat daripada Umno juga akan bersetuju bahawa kita masuk dalam lapangan PRN ini untuk sama-sama menawarkan sesuatu yang baik bagi (mewakili) setiap pihak (parti). Umno juga mahu menggerakkan kebaikan, dan kami juga sudah tentu mahu melakukan perkara sama.

"Pun begitu, saya bersama dengan PN sentiasa percaya dengan pengalaman yang PN ada ini, walaupun masih baharu tetapi dalam kesegaran (tidak terpalit dengan isu rasuah), ini menjadi kelebihan untuk PN ke hadapan," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Nawfal berharap PAS akan mengemukakan lebih ramai calon muda pada PRN kali ini, sekali gus mempertimbangkan peningkatan sekurang-kurangnya 30 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Terdahulu, Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pembahagian kerusi DUN membabitkan parti komponen PN hampir diselesaikan bagi menghadapi PRN Johor pada 12 Mac depan.

Sementara, Abdul Hadi pula dilapor sebagai berkata, calon-calon yang akan ditampilkan PAS dalam PRN Johor merupakan seorang yang adil, tidak fasiq, berpengetahuan, di samping dapat menjalankan amanah sebagai pemimpin.

*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram