Impak Undi18 di PRN Johor masih belum jelas


  • Massa
  • Isnin, 21 Mac 2022

PRN Johor bukan medan pengukur sebenar impak Undi18.

DENGAN data yang terhad dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, pemerhatian awal mendapati Undi18 gagal memberi kesan ketara terhadap hasil pengundian di negeri itu, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun ini tidak bermakna Undi18 tidak akan membawa perubahan terhadap landskap politik negara pada masa depan.

PRN Johor diadakan ketika kemuncak penularan varian Omicron Covid-19 dan dilaksanakan segera selepas Undi18 mendapat lampu hijau.

Kedua-dua faktor ini mungkin tidak menggambarkan potensi sebenar pelaksanaan Undi18.

Undang-undang baharu itu dilaksanakan pada tahun ini dengan membenarkan umur pengundi diturunkan dari usia 21 kepada 18 tahun dan memperkenalkan sistem pendaftaran automaik.

Johor menjadi medan pertama yang membenarkan pengundi berusia 18 tahun.

cabaran Baharu

Ramai menjangkakan bahawa jumlah pengundi keluar akan bertambah dan berlakunya gelombang politik di Johor, tetapi perkara ini tidak berlaku disebabkan pengurangan jumlah pengundi yang keluar.

Namun rumusan bahawa jumlah pengundi yang keluar akan mempengaruhi PRN Johor adalah tidak tepat, kata penganalisis politik Dr Azmi Hassan.

Impak pelaksanaan Undi18 di PRN Johor dengan mengaitkan jumlah pengundi keluar dan mencipta persepsi bahawa ramai tidak keluar mengundi tidak betul kerana realitinya mungkin berbeza, kata Dr Azmi.

“Statistik menunjukkan hanya 54.82 peratus pengundi keluar di PRN Johor. Apabila kita katakan ini disebabkan jumlah rendah pengundi keluar, ia kerana kita mengaitkan statistik dengan PRN Melaka dan Sarawak. Masalahnya adalah kita tidak melaksanakan Undi18 semasa PRN Melaka dan Sarawak tetapi di Johor, terdapat kira-kira 750,000 pengundi tambahan disebabkan Undi18,” katanya.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu, seramai 5.8 juta pengundi berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik setakat 31 Disember 2021 apabila Undi18 dikuatkuasakan.

Di Johor, jumlah ini melibatkan lebih 750,000 pengundi baharu menjadikan angka keseluruhan pengundi di negeri itu meningkat kepada 2.5 juta orang, berbanding 1.8 juta pada PRU14.

Najib PRN Johor - The Star

BN dilihat paling banyak mendapat manfaat daripada pelaksanaan Undi18.

Jumlah pengundi baharu ini melibatkan mereka yang sudah berusia 21 tahun tetapi tidak berdaftar sebelum ini.

Semasa PRU14, jumlah pengundi keluar di Johor adalah 83 peratus, tetapi angka ini hanya berdasarkan kepada 1.8 juga pengundi.

Walaupun jumlah pengundi keluar pada PRN baru-baru ini sebanyak 54.8 peratus tetapi ini melibatkan 1.4 juta pengundi.

Ramai daripada mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang sebelum ini tidak mendaftar tetapi kini layak mengundi secara automatik, namun tidak keluar mengundi, maka peratusannya juga kelihatan lebih rendah disebabkan mereka tidak keluar membuang undi, kata Dr Azmi.

Dr Azmi berpandangan bahawa perundangan Undi18 tidak memberi impak yang kuat di Johor, tetapi ia masih harus dilihat bagaimana ia akan mempengaruhi pilihan raya umum akan datang.

“Barisan Nasional mendapat manfaat paling banyak daripada Undi18 di Johor. Bukan kerana ramai pengundi baru keluar mengundi, tetapi kerana mereka tidak keluar mengundi. Barisan mendapat manfaat kerana mereka mempunyai kumpulan penyokong mereka sendiri yang sangat kuat yang keluar mengundi pada hari Sabtu,” jelasnya.

Satu sebab yang boleh menyumbang kepada penurunan jumlah keluar mengundi keseluruhan ialah ramai belia bekerja di luar negeri, malah di negara jiran Singapura.

“Semasa pandemik, untuk pulang ke kampung halaman hanya untuk mengundi memerlukan banyak pengorbanan. Saya fikir itu boleh menjadi sebab mengapa belia mungkin tidak keluar mengundi beramai-ramai,” katanya sambil meramalkan pilihan raya akan datang bukan pilihan raya negeri tetapi kemungkinan besar PRU15.

Kesedaran poliik

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi bersetuju dengan Dr Azmi bahawa Undi18 tidak memberi kesan ketara pada PRN Johor yang baru selesai.

“Berdasarkan kajian lapangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri Johor, ramai dalam kalangan pengundi muda Undi18 didapati kurang celik politik dan kurang memahami situasi politik semasa. Hanya kira-kira 15-20% sahaja yang sensitif dengan situasi politik semasa,” katanya sambil menambah bahawa kohort belia 18-21 hanya berjumlah kira-kira 6% daripada daftar pemilih di Johor.

Barisan, terutamanya Umno, mendapat manfaat paling banyak daripada Undi18 di Johor, kata Dr Awang Azman.

After the disappointing show in the recent Johor state elections, will the Undi18 voters bring about meaningful change to the political arena in the future? – AZHAR MAHFOFI/The Star

ADA beberapa faktor lain yang perlu diambil kira susulan jumlan peratusan undi keluar pada PRN Johor.

Jelas beliau, ini berdasarkan andaian bahawa pengundi termuda masih terpengaruh dengan kecenderungan politik ibu bapa mereka, dan Umno dapat memanfaatkannya kerana mempunyai lebih ramai ahli di negeri ini berbanding parti lain.

Dr Awang Azman menegaskan bahawa sesetengah belia tidak dapat mengundi kerana alamat MyKad mereka tidak sepadan dengan tempat tinggal mereka, yang menyumbang kepada penurunan peratusan keluar mengundi.

“Ramai juga yang tidak dapat cuti bekerja untuk mengundi, manakala yang lain tinggal di luar kawasan mengundi mereka atau tinggal di kolej. Di samping itu, terdapat minat yang rendah di sekitar pilihan raya dan beberapa belia juga mengatakan bahawa tidak ada parti politik yang boleh menawarkan sesuatu yang menarik kepada mereka,” jelasnya.

Bagi menjadikan Undi18 lebih dinamik, perlu ada program pendidikan politik dan literasi yang meluas didorong oleh SPR dan parti politik, kata Dr Awang Azman.

Dr Suffian Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia meramalkan bahawa Undi18 akan menjadi cabaran kepada semua parti pada pilihan raya akan datang kerana golongan muda tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana parti tertentu pada masa ini.

“Pada ketika ini, pengundi muda akan menukar sokongan mereka pada bila-bila masa mengikut isu yang menarik minat mereka. Tetapi ia juga akan membawa tuntutan baharu yang penting kepada keperluan pengundi muda, terutamanya perkara yang berkaitan dengan pendidikan, pekerjaan, dan internet,” kata Dr Suffian, yang menambah bahawa kesaksamaan dan ketelusan juga merupakan perkara yang akan mendapat sokongan belia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram