TAHUN 2022 akan menjadi tahun paling penting buat para belia, yang mana mereka berupaya menggunakan lebih banyak kuasa politik serta membantu menentukan hala tuju masa depan negara ini.
Hal ini berikutan pindaan Perlembagaan Undi18 yang menurunkan umur minimum mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini, memperkenalkan pendaftaran pemilih automatik, dan menurunkan umur minimum untuk bertanding dalam pilihan raya kepada 18 tahun.
Kesan perubahan tersebut ke atas bilangan undi dan demografi akan dapat dilihat pada tahun ini. Daftar pemilih meningkat sebanyak 5.8 juta pengundi pada 16 Januari apabila pendaftaran pemilih automatik akan bermula, berikutan pelaksanaan Undi18 pada Disember 2021.
Daripada jumlah ini, 1.2 juta adalah rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 20 tahun, manakala 4.6 juta lagi adalah mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang tidak didaftarkan lebih awal.
Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara, antara 40,000 dan 50,000 rakyat Malaysia mencapai usia 18 tahun setiap bulan.
Mereka akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih dan diwartakan di bawah daftar pemilih menjelang 16 hari bulan setiap bulan, kata jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada The Star awal bulan ini.
Pengundi tambahan akan menjadi pengubah permainan untuk parti politik dan gabungan - bulan ini sahaja bilangan pengundi berdaftar di Malaysia melonjak daripada 15.8 juta kepada 21.1 juta.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang menjadi 'ujian litmus' terhadap pengaruh pengundi Undi18, menyebabkan parti politik terdesak merangka rancangan untuk menarik minat demografi baharu ini.
Namun, seperti yang diberitahu oleh beberapa pemain politik utama kepada Sunday Star, mereka juga menumpukan kepada pelbagai program jangka panjang yang bukan sahaja untuk menarik pengundi muda ini, malah menyediakan pendidikan politik serta melatih bakal pemimpin.
Umno
Pemuda Umno mendapati, pengundi muda mahukan muka segar, idea baharu dan calon yang bersih, berkebolehan, jujur serta bertanggungjawab.
Selain itu, pengundi muda juga mahu parti politik yang mempunyai prinsip yang jelas dan idea yang besar namun realistik.
Pemuda Umno berhasrat untuk membawa sokongan belia dengan meletakkan calon yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki serta berpegang dengan prinsip tersebut.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya calon menepati kriteria itu, peluang untuk menarik sokongan belia adalah lebih tinggi.
"Pengundi muda sekarang sangat bijak. Mereka boleh mengakses maklumat dengan pantas dan di mana-mana sahaja. Justeru, sesiapa sahaja yang kita mahu letak sebagai calon mestilah mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk memimpin," katanya.
Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan, sama ada badan kerajaan atau pertubuhan masyarakat sivil, bagi mendapatkan pendidikan politik yang adil dan berkesan untuk belia.
ASYRAF Wajdi
Beliau berkata, pendidikan politik adalah luas dan mesti merangkumi maklumat dan pengetahuan tentang sistem politik negara ini, tadbir urus negeri, Perlembagaan Persekutuan, hak dan tanggungjawab seorang warganegara, sistem dan proses pilihan raya, kedaulatan undang-undang, parti politik dan perkara yang berkaitan.
Tambahnya, sayap Pemuda menjalankan latihan dan ceramah kumpulan kecil di peringkat kebangsaan, bahagian dan cawangan.
Katanya, program itu merangkumi pelbagai modul berstruktur dan perbincangan tidak formal berkaitan ideologi politik melalui pelbagai platform.
"Pendidikan politik adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan serta sokongan ahli kami, terutamanya dalam kalangan belia.
"Malah, kita perlu memastikan lebih ramai penyertaan belia dalam jawatan pembuat keputusan sama ada dalam kerajaan atau mana-mana sektor kerja. Belia perlu diperkasakan kerana mereka adalah pemimpin hari ini, bukan esok," katanya.
Antara inisiatif parti itu untuk memperkasakan ahli-ahli mudanya adalah menghidupkan semula Putera Umno bagi individu berumur antara 18 dan 25 tahun, selain akan mempunyai program dan kepimpinan mereka sendiri diwakili di semua peringkat.
"Kami sentiasa percaya bahawa pendekatan penyasaran rakan sebaya dan mikro adalah cara yang lebih berkesan untuk melibatkan diri dengan kumpulan ini," kata Asyraf Wajdi.
MCA
Pemuda MCA sentiasa melibatkan diri dengan belia melalui program institusi pengajian tinggi dan aktiviti sekolah, selain mengakui bahawa pengaruh media sosial penting untuk mendekati kumpulan sasaran ini, kata Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.
"Kami akan melibatkan diri dengan lebih ramai pempengaruh muda dan menerima pendapat pemimpin utama sebagai jambatan untuk lebih mendekati golongan belia. Kami perlu mendengar dan memberi respons kepada mereka.
"Pemuda MCA juga akan menganjurkan lebih banyak aktiviti bersama belia. Program sukarela baru-baru ini di bawah Skuad Bantuan Krisis MCA berkaitan bantuan banjir juga mendapat perhatian belia.
Joan Ong, 29 membuang kertas undi di SJK(C) San Yuk dekat Rawang, Selangor. — The Star
"Cabaran sekarang adalah kebanyakan belia masih tidak mengetahui hal ehwal semasa. Sangat penting untuk berfikir tentang diri sendiri dan bersikap kritis terhadap semua yang berlaku di sekeliling kita. Dengan itu, wujudnya tanggungjawab sosial.
"Pendidikan mengenai pengundian mungkin membantu memahami bagaimana proses pengundian berfungsi, tetapi ia tidak menangani cabaran untuk memastikan pengundi datang ke peti undi," katanya.
Mengakui bahawa terdapat keperluan untuk lebih ramai pemimpin muda menyertai pasukan itu, Wong berkata, mesyuarat akan diatur antara belia dan pemimpin politik supaya mereka dapat memahami cara kerja Parlimen, ahli parlimen, dan pejabat menteri.
NICOLE Wong
"Politik biasanya dianggap sebagai ruang untuk pemuda yang mempunyai pengalaman dalam berpolitik, manakala golongan wanita sering kurang bernasib baik dalam mengumpul pengalama untuk bertanding jawatan, sementara golongan muda pula terpinggir secara sistematik disebabkan faktor umur yang muda, peluang terhad serta unjuran kekurangan pengalaman. Oleh itu, kita memerlukan lebih ramai calon muda pada pilihan raya akan datang," katanya.
Pemuda MCA baru-baru ini menubuhkan Pasukan Petugas Khas Undi18, yang akan bekerjasama dengan kerajaan dan berhubung dengan golongan belia sepanjang proses pelaksanaan Undi18.
Sayap Pemuda di setiap negeri juga akan menubuhkan pasukan petugas khasnya sendiri untuk memastikan pelaksanaan Undi18 berjalan lancar, kata Wong sambil menambah bahawa sambutan belia menunjukkan bahawa mereka teruja untuk mengambil bahagian dalam proses politik.
MIC
Ketua Pemuda MIC, Raven Kumar Krishnasamy berkata, sayap itu telah membabitkan pelajar di peringkat universiti, menerangkan tentang pentadbiran kerajaan dan realiti senario politik di Malaysia.
"Pelajar-pelajar ini telah menerima dan juga bersikap defensif terhadap pemikiran mereka. Apa yang sentiasa membuatkan mereka selesa dalam perbincangan kami adalah penerimaan kami bahawa kami berada di sini bukan untuk mempromosikan parti, sebaliknya berkongsi mengenai cara sistem itu berfungsi.
"Tanggungjawab saya adalah untuk menjelaskan perkara-perkara sebagaimana adanya, dan juga tanggunggajawab saya untuk mendengarnya, kata Raven yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh.
Raven berkata, MIC telah memperkenalkan program Siswa yang melibatkan pelajar muda, dengan sayap Pemuda membimbing mereka lebih jauh dalam bidang tertentu mengikut keperluan individu belia.
RAVEN Kumar
"Kami merancang perkhemahan musim panas kepimpinan menerusi program MIC Undi18 kami, yang akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertainya. Kami juga merancang untuk menubuhkan jawatankuasa khusus untuk pendidikan pengundi. Veteran dan pemimpin baharu akan memberi input mereka mengenai perkara berkaitan politik dan pentadbiran, media sosial dan jangkauan dalam talian.
"Untuk membangunkan pemimpin muda, kita perlu mewujudkan pengundi yang rasional dan bukannya pengundi emosi. Pemimpin muda perlu belajar mengenai pembinaan komuniti melalui organisasi kerana ia membina kesepaduan. Sebuah organisasi lebih cenderung untuk berkumpul di sekeliling pemimpin yang telah berkongsi ikatan dengan mereka," katanya.
Bersatu
Sayap pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganjurkan program jangkauan yang berfungsi sebagai lanjutan daripada inisiatif kerajaaan yang dikenali sebagai Mahasiswa United, kata ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
"Ia adalah platform yang mana kami menggalakkan semua pelajar dari universiti khususnya, untuk mengambil bahagian dan menjadi ejen perubahan menerusi Undi18. Selain itu, saya berharap dakan jangka panjang, inisiatif ini dapat berfungsi sebagai program pengambilan, yang mana pelajar cemerlang yang berminat untuk menyumbang kepada dasar negara dan pembinaan negara bangsa boleh terus menyalurkan suara dan idea mereka kepada pemimpin tertinggi negara," katanya yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Beliau percaya bahawa, pendidikan politik adalah penting untuk memastikan penyertaan belia selain menyedarkan mereka tentang peranan masing-masing dalam pembentukan landskap politik negara ini.
Katanya, Armada merancang untuk menarik minat belia menerusi tiga isu utama - pekerjaan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan perubahan iklim.
AHMAD Fayhsal
Untuk berbuat demikian, katanya, sayap itu merancang untuk menghasilkan dasar dan program dalaman bagi membantu belia memperoleh lebuh banyak pekerjaan dalam sektor tertentu, terutamanya perkara yang berkaitan dengan TVET.
Langkah ini juga sekali gus dapat mempromosikan TVET kepada belia di semua peringkat dan wilayah, sebagai salah satu persediaan mereka menghadapi masa depan pasca pandemik.
Mengenai perubahan iklim, Armada merancang untuk mengeluarkan dasar hijau dalam semua sektor.
"Bercakap mengenai pendidikan pula, kami akan terus mengadakan program tuisyen secara besar-besaran untuk calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), bagi membantu mereka mendapat penempatan universiti yang lebih baik, dan pada masa sama mendedahkan mereka kepada jaminan laluan kerjaya yang lebih menarik," katanya.
Armada juga mewujudkan Akademi Siasah Raja Ali Haji (Aksara) bagi melatih ahli politik muda demi masa depan parti, dengan menawarkan latihan profesional tentang cara bercakap, cara menulis, cara berfikir dan cara menyampaikan idea mereka kepada pengundi dan orang ramai.
GPS
Dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah tentang memperkasakan belia dan rakyat, dengan meningkatkan kedudukan sosioekonomi, mata pencarian dan kesejahteraan mereka melalui penggunaan teknologi baharu dan semasa, kata Datuk Gerald Rentap Jabu.
"Adun Sarawak meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menjadi calon ketika PRN pada November 2020. Ini adalah sebahagian daripada proses pembaharuan politik yang dicadangkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sejak 2018," kata Jabu yang juga Adun Layar dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen GPS.
Jabu yang juga Penolong Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I Sarawak berkata, kerajaan GPS telah memasukkan dasar untuk membantu, membimbing, memaklumkan dan menyediakan keperluan untuk belia Sarawak.
"Skim Pembiayaan Kredit Mikro Sarawak diwujudkan untuk membantu belia memulakan, membiayai dan menjalankan perniagaan mereka mulai 2020. Dana Industri Kreatif Belia Sarawak diwujudkan pada 2020 untuk Belia Sarawak untuk mereka yang berusia antara 15 tahun hingga 40 tahun untuk membantu memupuk, membangun dan seterusnya menggalakkan bakat kreatif mereka.
GERALD Rentap Jabu (kiri).
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kerajaan GPS Negeri terus mengembangkan dan membimbing belia kita," katanya.
Kementerian turut bekerjasama dengan agensi lain untuk membangun, menambah baik dan melatih belia dalam ekonomi digital, khususnya dalam bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) pengekodan, pembangunan aplikasi dan inisiatif permulaan.
"Kami melakukan ini dengan kerjasama pemain industri seperti Shell, Google, MaGIC (Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia) dan Lazada, dengan menambah baik dan mengkomersialkan usaha dan bakat mereka.
"Belia adalah masa depan kita dan perkara itulah yang mahu dilaburkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Perpaduan melalui kepelbagaian mewujudkan peluang ekonomi yang akan memastikan kestabilan, kemakmuran dan melonjakkan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Pejuang
Salah satu kaedah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menarik minat belia dan melatih ahli politik muda adalah dengan menyediakan saluran untuk mereka bekerja di lapangan dan menawarkan perkhidmatan mereka secara sukarela," kata Ketua Sayap Pemuda Wanita Pejuang (Pejuanita Muda), Dr Nurul Ashikin Mahabwi.
"Kami melakukan yang terbaik, bukan untuk terlalu berpolitik dalam parti politik. Kami membuat sesuatu seacra mesra belia semampu yang kami boleh. Ada kebebasan untuk ahli muda kita mengemukakan cadangan mereka untuk sesuatu program atau acara, yang mana kita biarkan mereka memimpin. Begitulah cara mereka berkembang," jelasnya.
Beliau berkata, fokus utama kempen pendidikan politik sayap Pejuang Muda yang berterusan adalah untuk meningkat kesedaran di kalangan pengundi muda tentng kepentingan mengundi dan cara mengundi.
NURUL Ashikin
"Bilangan keahlian untuk kedua-dua sayap meningkat secara ketara dan sambutannya baik setakat ini. Kebanyakan ahli kami tidak pernah menyertai politik sebelum ini, tetapi mereka memilih kami sebagai parti pertama mereka, jadi saya yakin kami berada di landasan yang betul.
"Kami mempunyai ribuan pemuda dan gadis yang 'sangat vokal' (lantang) dalam Pejuanita Muda dan Pejuang Muda. Kita perlu membenarkan mereka bersuara dan menyuarakan pendapat mereka. Tugas saya ialah mendengar. Sudah tentu, latihan politik adalah satu kemestian dan kami mewujudkan jadual," tambahnya.
Beliau melihat sesuatu yang segar dan baharu apabila terdapat peningkatan ketara dalam ahli politik muda di Malaysia.
"Mereka bersih dan bebas rasuah. Saya menaruh harapan tinggi agar ahli politik muda akan membentuk Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik," katanya.
Upko
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) adalah parti pertama yang memberi pendekatan, perhatian dan peluang yang komprehensif kepada generasi muda untuk berkecimpung dalam politik, kata Ketua Pemuda, Felix Joseph Saang.
Tegasnya, hanpir 20 tahun lalu, parti itu menubuhkan sayap Komulakan, yang kemudian dijenamakan semula kepada Sayap Generasi Muda.
"Belia yang telah mencapai umur 18 tahun boleh mendaftar sebagai ahli parti Upko melalui Sayap Generasi Muda. Sejak itu, Upko telah melahirkan ramai pemimpin muda. Sebahagian daripada mereka telah disenarai sebagai calon, memenangi pilihan raya dan juga dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Kabinet Negeri Sabah sebelum ini," katanya.
Upko mahu pendaftaran automatik tidak membabitkan individu yang mendapat kad pengenalan secara haram. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star
Saang berkata, parti itu akan terus menganjurkan pelbagai seminar, bengkel dan kursus kepimpinan yang disasarkan kepada belia bagi mendekati golongan itu, dengan harapan dapat melahirkan dan membangunkan pemimpin masa depan.
"Pemuda Upko menyokong penuh Undi18. Namun, kami ingin mengulangi pendirian tegas bahawa pendaftaran perlu melalui mekanisme yang telus bagi memastikan pendaftaran automatik ini tidak melibatkan mereka yang mendapat kad pengenalan secara haram atau rasuah, khususnya di Sabah.
FELIX Joseph Saang
"Kita semua tahu bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah membuktikan skandal ini melibatkan kad pengenalan yang telah dikeluarkan melalui penggunaan penyelewengan dan salah guna kuasa di negeri Sabah.
"Pada masa sama, ia benar-benar membanggakan semua golongan muda di Malaysia, apabila Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan penting pada 3 September tahun lepas, memihak kepada pelaksanaan Undi 18. Bagaimanapun, kita tidak mahu pengeluaran kad pengenalan secara haram untuk meneruskannya kerana ia akan menimbulkan ancaman kepada kedaulatan negara kita," katanya.
Muda
Matlamat Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), salah satu parti terbaharu negara, adalah untuk membina sebuah negara berbilang kaum, agama yang sederhana, dengan semangat kewajipan sivik yang kuat, untuk mendesak pembasmian kemiskinan dan membawa suara belia, kata setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti pimpinan belia, pendidikan politik menjadi keutamaan kepada Muda.
"Pendidikan politik terbaik untuk belia adalah dengan melibatkan mereka di lapangan. Sejak sebulan lalu, Muda telah mendapat penyertaan yang ramai daripada golongan belia ketika usaha memberi bantuan banjir dalam negara.
"Kami telah mendaftarkan lebih 12,000 sukarelawan - yang kebanyakannya berumur antara 16 hingga 32 tahun. Menerusi langkah ini, kami mendedahkan mereka dengan politik perkhidmatan," jelasnya.
Melalui usaha ini juga, katanya, belia diperkenalkan dengan realiti di lapangan, bagaimana birokrasi dan tadbir urus mempengaruhi kebajikan rakyat.
Tambahnya, Muda juga tidak lama lagi akan membangunkan 'sekolah politik' pertama bagi memperkenalkan suasana politik Malaysia kepada ahli parti.
Katanya, ia akan dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), perkongsian ilmu dengan pemimpin parti serta program lain di peringkat nasional dan negeri. Salah satu langkah penting adalah membawa belia ke dalam proses membuat keputusan, yang mana hampir semua pemimpin Muda negara dan negeri adalah golongan belia.
"Kami memperjuangkan isu berkaitan anak muda termasuk penggangguran, isu perumahan, kenaikan harga, kebajikan pelajar, hak mengundi dan banyak lagi.
"Tiada formula tunggal untuk menarik kumpulan pengundi muda, tetapi Muda percaya bahawa dengan memperjuangkan hak mereka, bersama-sama dengan mereka, akan membuatkan mereka lebih terbuka hati untuk menyokong (kami)," katanya.
DAP
DAP sedang membangunkan pemimpin muda yang sentiasa berhubung dengan generasi muda dan bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat, kata Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Chiong Yoke Kong.
“Adalah menjadi kepercayaan kami bahawa melalui ketekunan dan kerja keras, kami akan membawa hasil yang positif dan meraih sokongan daripada orang ramai,” katanya yang juga Adun Tanah Rata.
CHIONG Yoke Kong
Jelasnya, DAP telah giat meletakkan golongan muda di hadapan, dan mempunyai lebih 30 Ahli Parlimen dan Adun yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.
“Mengenai usaha untuk menarik sokongan menerusi Undi 18, wakil rakyat kami dan pemimpin Dapsy melaksanakan tugas mereka terutamanya dalam bidang khusus mereka, termasuk membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen, keluarga ibu bapa tunggal, hal ehwal universiti, kaunseling pendidikan untuk keluarga berpendapatan rendah, dan rundingan pembangunan. untuk media sosial dan kerjaya baru muncul.
"Kesemua mereka berdedikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menyediakan kaunseling, bantuan guaman atau bimbingan," tambahnya.
Amanah
Dalam menangani kebimbangan belia, Sayap Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) akan mementingkan topik utama yang memberi kesan kepada generasi muda, iaitu pengangguran, gaji tidak stabil, perumahan dan kos sara hidup yang tinggi, kata ketuanya Hasbie Muda.
"Belia Amanah akan memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai NGO, badan pemikir dan juga penggubal dasar di peringkat negeri dan nasional, untuk meningkatkan kesedaran tentang penglibatan politik belia," katanya.
Pemuda Amanah juga akan menumpukan usaha memperkukuh tiga program berimpak tinggi yang sedang dijalankan untuk menyediakan pendidikan teori dan praktikal kepada belia masa kini, terutamanya pengundi kali pertama di bawah kategori umur 18 hingga 21 tahun.
HASBIE Muda
Antara tiga program utama yang dijalankan ialah Amanah Executive Internship, terbuka kepada mereka yang berumur bawah 25 tahun.
Ia diwujudkan untuk memahami cara kerja demokrasi berparlimen Malaysia. Program ini membolehkan para peserta berinteraksi dengan ahli parlimen dan diberi tugasan untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang sistem politik.
Program Sekolah Kepimpinan memperkenalkan parti, dan memberi tumpuan kepada pengukuhan konsep demokrasi serta melahirkan pemimpin baharu.
Program Pondok Siasah pula memberi tumpuan khusus kepada pembangunan golongan belia yang berminat dan ingin terlibat secara langsung dalam politik kepartian.
Warisan
Parti Warisan sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif menerusi kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, yang mana beliau sentiasa mengutamakan kepentingan memberi platform kepada belia untuk memimpin, suara mereka didengari serta idea baharu yang segar dilaksanakan.
Ketua Pemuda Kebangsaan Warisan Dr. Rajiv Bhanot berkata, parti itu merancang untuk menarik pengundi muda dengan menuju ke arah politik yang lebih matang, didorong oleh dasar dan terus menyediakan platform untuk belia menyuarakan idea mereka.
“Sebagai sebuah parti politik pelbagai etnik yang menumpukan kepada centrism, kami berharap untuk menjadi suara lantang Moderate Malaysia.
“Pemimpin muda sentiasa diberi peluang di Warisan dan ini ditunjukkan apabila ramai calon yang bertanding pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dan juga pilihan raya negeri lepas, yang berumur 40 tahun ke bawah,” kata Dr Rajiv yang juga Ketua Penyelaras Warisan Semenanjung.
Jelasnya, kebanyakan kepimpinan tertinggi parti serta pemimpin bahagian adalah individu yang muda dan dinamik.
Justeru, pendedahan itu membolehkan parti berkenaan membentuk generasi akan datang sebagai pemimpin politik negeri dan negara.
“Malaysia adalah sebuah negara yang indah, namun malangnya telah berpecah-belah disebabkan oleh politik dan dasar berasaskan kaum selama bertahun-tahun.
"Dengan penglibatan berterusan daripada golongan belia, kami akan memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan menggerakkan kami ke arah menjadi kuasa perpaduan yang pernah diwujudkan sebagai sebuah negara,” katanya.
PSB
Ketua Pemuda Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, banyak rancangan sedang dijalankan termasuk bengkel dan seminar secara bersemuka serta atas talian.
Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan belia menjadi sebahagian daripada proses politik.
“Kami berharap dapat mencetuskan minat mereka dengan memberikan maklumat tentang kepentingan politik dan bagaimana ia membentuk masa depan mereka.
“Kami juga sedang menubuhkan NGO untuk belia menjalankan aktiviti dengan sokongan parti,” katanya yang juga Adun Engkilili.
Menurutnya, PSB merancang untuk meminda perlembagaannya pada Februari ini, bagi membolehkan individu yang berumur 18 tahun ke atas menyertai aktivitinya, selain akan menubuhkan sayap Putra dan Putri yang akan memenuhi keperluan ahli yang lebih muda.
DR Johnical Rayong Ngipa
“Belia hari ini sangat bijak dan sangat celik teknologi, jadi kami akan memanfaatkan perkara ini,” katanya sambil menambah bahawa parti itu akan menumpukan pada isu yang dekat di hati belia.
“Di Sarawak, ada golongan belia yang mendapat keputusan yang baik di sekolah, tetapi mereka tidak dapat memasuki universiti kerana tidak mampu. Biasiswa sukar diperoleh, malah ada yang takut untuk mengambil pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana menyebabkan mereka berhutang. Ini mengehadkan kemajuan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa, ramai graduan baharu di Sarawak juga menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan dan selalunya berakhir di sektor berpendapatan rendah, meskipun mereka mencapai gred yang baik.
“Kami akan terus memperjuangkan kesaksamaan dalam sektor pekerjaan. Jika belia tidak berpuas hati, cara terbaik untuk mereka membuat bantahan ialah dengan menyertai parti itu,” katanya.
*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram