PELAKSANAAN Undi18 di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor turut menyaksikan pendaftaran secara automatik bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk melayakkan mereka mengundi.
Mungkin mereka ada alasan tersendiri tidak mendaftar sebagai pengundi sebelum ini, tetapi Undi18 ibarat memberi 'peluang kedua' kepada golongan ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Meskipun berdepan suasana pandemik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, golongan pengundi baharu dilihat tetap bersemangat untuk menebus 'kesilapan' mereka sebelum ini kerana tidak turun mengundi.
Hasil tinjauan The Star dalam kalangan pengundi baharu semasa PRN Johor pada 12 Mac lalu, dapat merungkai 1001 cerita yang ingin mereka kongsikan.
Rata-rata mereka berpuas hati dengan kelancaran sesi pengundian kali ini walaupun dibelenggu ketakutan penularan wabak Covid-19.
Malah, ada antara mereka sanggup berkorban masa dan tenaga demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir Johor.
Ikuti pengalaman mereka bergelar sebagai pengundi kali pertama.
Jurutera projek, V. Vissagan, 24, Johor Bahru (Puteri Wangsa)
"Sebagai pengundi kali pertama, pengalaman mengundi pada 12 Mac lalu amat unik. Saya pergi bersama kakak yang mempunyai lebih banyak pengalaman mengundi.
"Saya sepatutnya bekerja pada hari mengundi tetapi saya meminta izin bos selama dua jam untuk mengundi dan kembali bekerja selepas menunaikan tanggungjawab saya sebagai rakyat.
"Saya fikir proses mengundi akan mengambil masa yang lama disebabkan SOP Covid-19 tetapi tak sangka prosesnya berjalan lancar dan pantas.
"Memandangkan saya sudah layak mengundi, saya mahu suara saya didengari dan mengundi pemimpin yang saya mahu iaitu muda dan bijak.
"Saya mahu wakil rakyat yang benar-benar boleh memimpin dan saya percaya saya membuat pilihan yang tepat. Saya tidak sabar untuk mengundi semula pada pilihan raya umum nanti."
Pakar komunikasi, Kathleen Ann Kili, 31, Johor Bahru (Puteri Wangsa).
"Saya terlepas peluang mengundi pada Pilihan Raya Umum yang lepas kerana sibuk bekerja dan tidak mendaftar sebagai pengundi.
"Untuk pilihan raya negeri kali ini, saya akhirnya berterima kasih kepada pendaftaran automatik pengundi yang berkuat kuasa seawal umur 18 tahun.
"Saya memujuk dan menggalakkan ahli keluarga saya untuk keluar mengundi kerana ini merupakan tugas kami sebagai rakyat. Kami tidak boleh mengalah untuk memilih negeri dan negara yang lebih baik.
"Pada hari mengundi, saya membawa nenek untuk membantunya mengundi dan situasi di pusat pengundian amat tenang dan mereka yang bertugas juga amat membantu pengundi kali pertama seperti saya.
"Motivasi saya untuk mengundi adalah disebabkan salah seorang calon yang bertanding yang membuatkan saya percaya tentang visi dan manifestonya relevan buat masa kini.
"Ini juga masa yang terbaik buat kami memiliki wakil rakyat wanita yang boleh membawa suara kami orang wanita.
"Saya amat gembira kerana akhirnya saya boleh menunjukkan kesan dakwat di jari selepas membuang undi dan pastinya saya akan turun sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15."
Pegawai sumber manusia, R. Theeba Malar, 28, Kluang.
"Harapan saya untuk mengundi untuk memastikan kuota perkauman di universiti awam dapat dihapuskan.
"Seperti orang lain yang merasai pengalaman seperti saya, saya berharap kerajaan boleh melihat perkara ini supaya generasi akan datang dapat menikmati pendidikan setara dengan kos yang rendah.
"Bagi saya, sukar untuk meyakinkan rakan dan ahli keluarga agar keluar mengundi kerana mereka bimbang tentang situasi Covid-19 dan SOP yang ketat.
"Tetapi ini tidak menghalang saya untuk keluar mengundi kerana saya mahu suara saya didengari.
"Tiada gunanya jika kita tidak mengambil bahagian dalam mengundi kemudian mengadu bahawa kerajaan tidak membantu kita. Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa saya mempunyai peranan untuk memastikan generasi saya dan seterusnya menikmati pembangunan dan kebajikan yang lebih baik."
Penasihat kewangan, Rhema Seng, 22, Johor Bahru.
"Saya amat gembira mengundi buat kali pertama dan menggigil ketika menanda kertas undi.
"Kalau ikutkan, saya terlepas peluang ini kerana mengalami alahan pada malam sebelum hari mengundi.
"Saya memakan sotong semasa makan malam bersama keluarga dan akibatnya, satu badan naik bintik.
"Mereka membawa saya ke hospital kira-kira 1 pagi dan terpaksa mendapatkan rawatan selama empat jam dan diletakkan di bawah pengawasan.
"Saya bimbang terpaksa ditempatkan di wad.
"Mujur doktor membenarkan saya pulang selepas keadaan saya semakin pulih.
"Saya hanya sempat tidur beberapa jam sebelum bangun dan keluar mengundi.
"Saya pergi bersama kakak saya, Reca, 26, dan abang, Roby, 28, yang juga kali pertama mengundi.
"Kami bertiga sudah mengkaji setiap calon dan mendengar ceramah mereka sebelum kami membuat pilihan." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram