SETIAP parti perlu bijak dalam merangka strategi menarik pengundi baharu, terutama daripada golongan Undi 18 yang akan menjadi kuasa penting dalam setiap pilihan raya mulai sekarang.
Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, semua parti perlu melihat setiap pengundi baharu ini sebagai 'raja' dan akan menjadi penentu kemenangan.
"Kita melihat kepada jumlah 5.8 juta orang pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu seramai 750,000 orang.
"Dalam keadaan politik sekarang terutama jika kita melihat kepada analisis PRU lalu, hampir 30 hingga 40 peratus adalah kerusi marginal di peringkat negeri dan Parlimen. Kalau begitu, setiap undi itu adalah undi baharu.
"Malah, saya melihat jika 5.8 juta orang pengundi baharu itu keluar mengundi pada PRU akan datang, jumlah pengundi itu sudah cukup untuk menentukan kerajaan baharu.
"Andaian ini berdasarkan jumlah undi kepada setiap parti itu berada dalam lingkungan tersebut," katanya dalam wawancara mengenai Undi18.
Menurutnya, untuk meyakinkan pengundi baharu mengundi sesuatu parti bukan tugas mudah, apatah lagi mereka sudah bijak dan mampu untuk menilai apa jaminan terbaik yang mampu diberikan oleh kesemua parti yang bertanding.
Beliau berkata, cabaran paling besar adalah untuk meyakinkan pengundi baharu yang berada di atas pagar keluar mengundi atau memilih parti-parti tertentu.
Malah, Manimaran menjelaskan, isu wakil rakyat yang lompat parti selain masalah integriti dalam politik menambahkan rasa kurang yakin pengundi untuk memangkah kertas undi dalam pilihan raya.
"Parti politik kena beri jaminan iaitu apakah manifesto dan apa janji mereka kepada golongan muda ini. Pada hari ini, kita ada banyak krisis seperti krisis politik, krisis kesihatan, krisis peluang pekerjaan selain integriti dalam politik itu sendiri.
"Bagaimana parti itu mahu yakinkan pengundi muda dan baharu ini dengan memberi jaminan dalam bentuk manifesto, kempen dan sebagainya bahawa krisis-krisis yang sedang dihadapi sekarang ini mampu diatasi," katanya.
MANIMARAN berkata, usaha meyakinkan pengundi baharu yang berada di atas pagar keluar mengundi atau memilih parti-parti tertentu adalah cabaran paling besar.
Dalam pada itu, Manimaran mengakui kecewa apabila kerajaan tidak memberikan penjelasan dan tidak mendidik pengundi mengenai Undi18 dan pelaksanaan pendaftaran pemilihan automatik.
Beliau melihat langkah kerajaan yang tidak mengambil berat untuk menyebarkan mengenai pemilihan automatik ini sebagai satu kerugian yang besar.
"Masih ramai yang tidak tahu mengenai pendaftaran automatik ini dan saya percaya pengundi baharu juga tidak tahu bahawa mereka sudah boleh mengundi. Kerajaan sudah mewujudkan mekanisme (Undi 18 dan pendaftaran pemilihan automatik), tetapi kerajaan tidak mendidik supaya pengundi tahu mereka boleh mengundi.
"Sehingga hari ini, saya tidak nampak dalam televisyen atau medium lain untuk mendidik kumpulan Undi 18 dan pengundi baharu bahawa kerajaan sudah mempunyai sistem ini. Kita tidak ada promosi, tidak ada publisiti.
"Kalau tidak, tiada guna ada sistem seperti ini. Sia-sia membelanjakan jutaan ringgit untuk PRN Johor dan kemungkinan sehingga RM1 bilion pada PRU akan datang, sekiranya tidak membawa bersama 5.8 juta pengundi baharu ini.
"Ia sekali gus menyaksikan kita akan gagal daripada segi prinsip pilihan raya iaitu penyertaan aktif daripada pengundi. Kalau tak serius, jangan buat peruntukan baharu," katanya.
*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram