Calon, pendapat keluarga jadi rujukan pengundi muda


  • Politik
  • Ahad, 13 Feb 2022

PRN Johor menjadi medan pertama untuk melihat pengaruh Undi18.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi medan ahli politik melihat pengaruh pengundi muda atau Undi18 dalam pola sokongan terhadap parti masing-masing.

Pelbagai strategi diatur oleh parti masing-masing untuk menambat hati pengundi muda memilih calon yang akan dinamakan pada 26 Februari ini.

Tetapi untuk memenangi golongan milenial itu bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan dengan polemik politik negara yang secara tidak langsung memudarkan semangat pengundi muda turun menunaikan tanggungjawab mereka.

Tinjauan The Star dan Sin Chew Daily dalam kalangan pengundi muda ternyata menemukan pelbagai reaksi mereka terhadap dunia politik.

Bagi pelajar universiti, Teh Pei Ying, dia akan turun sebagai pengundi buat kali pertama dan mengakui berasa teruja dan gementar.

"Saya teruja dan gementar tentang kelayakan untuk mengundi kerana ia adalah tanggungjawab yang penting dan perlu dilaksanakan secara berhati-hati. Ia juga merupakan satu kewajipan bagi orang dewasa.

"Saya akan mengundi dalam PRN Johor. Bagi saya mengundi adalah saluran yang betul dan efektf untuk terlibat dalam politik. Ia juga merupakan salah satu hak pengundi," kata pelajar berusia 21 tahun itu.

Ballot box in Bukit Aman during early voting  on Saturday. AZMAN GHANI / The Star

RAMAI pengundi muda mengakui teruja untuk turun menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebagai orang muda katanya, mereka perlu menggunakan hak untuk mengundi sebagai cara untuk menyelesaikan misi dan memikul tanggungjawab.

"Saya ingin mengundi calon yang memahami sentimen asas dan serius tentang kepentingan rakyat serta pandangan umum.

"Calon mestilah berkebolehan dalam pelaksanaan, komunikasi dan kepimpinan

Setiap undi adalah penting. Setiap undi dikira. Kita tidak sepatutnya berfikir bahawa "satu undi tidak penting".

"Perbuatan sebegitu sama seperti melepaskan diri dan melepaskan peluang untuk bersuara. Hak seseorang untuk mengundi akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya," katanya.

Seorang lagi pengundi muda yang layak mengundi di PRN Johor, Wong Chun Tau dari Kulai bagaimanapun berkata, dia tidak pasti lagi sama ada akan menunaikan tanggungjawabnya itu.

Ini kerana katanya, dia tidak mengetahui cara untuk mengundi.

Malah katanya, dia akan merujuk dulu kepada keluarganya yang lebih mengenali kerajaan jika turun mengundi.

"Apabila saya mendengar berita tersebut, saya tidak tahu apa yang mereka katakan.

"Jika dilihat daripada kerajaan baharu dan harga barangan meningkat, saya merasakan senario politik negara ketika ini sedikit kucar-kacir.

"Disebabkan oleh pandemik Covid-19, saya juga merasakan ia sedikit huru-hara. Saya baru mula bekerja.

"Walaupun saya rasa satu undi yang saya ada mungkin menjejaskan senario politik, tetapi jika saya mengundi, saya tetap akan merujuk ahli keluarga. Keluarga saya lebih mengenali kerajaan berbanding saya," katanya yang kini berusia 19 tahun.

Youth of the nation: Undi18 aims to allow 18-year-old Malaysians, including (from left) K. Aniemalar, Nathaniel Eliezer Chin, Afiq Amanie Mohd Amran and S. Padmaullashini, to have their voices heard in elections. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

CALON dan pendapat keluarga menjadi rujukan golongan muda untuk memilih wakil rakyat mereka.

Bagi pelajar tingkatan 6 dari Pontian, Teng En Xuan, dia mengakui tanggungjawab mengundi merupakan perkara yang baharu bagi diri sendiri dan rakan-rakannya.

Walaupun teruja, Teng tetap bimbang tentang pemilihan yang akan dibuat olehnya.

"Saya percaya saya tidak bersendirian. Ramai anak muda tidak memahami sistem politik di Malaysia, apatah lagi perihal parti politik.

"Pada saya, saya akan mengundi calon yang serius dalam menyelesaikan tugas dan bukannya calon yang sombong.

"Calon sedemikian pada saya bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat. Negara kita perlu maju kehadapan dan bukan semakin rosak," kata pelajar berusia 18 tahun itu.

Teng berkata, setiap orang harus menganggap pilihan raya itu penting dan mengetahui prestasi calon di kawasan masing-masing sama ada mereka layak dan mampu berkhidmat untuk rakyat.

"Saya fikir kita tidak sepatutnya menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa `hanya satu undi sahaja sudah memadai'," katanya.

*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Undi18, tinjauan, pengundi, muda, PRN Johor