'Anak muda yang harus tampil gubal polisi, undang-undang'


  • Massa
  • Rabu, 16 Feb 2022

GOLONGAN muda di negara ini harus diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil dan kukuh. — Gambar hiasan/Bernama

GOLONGAN muda di negara ini harus diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil dan kukuh daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Belia #RasuahBusters bersama rakan gabungan dalam satu kenyataan bersama pada Selasa menyeru rakyat supaya bangkit memperkasa dan menjadi sistem sokongan kepada golongan muda yang dipercayai mampu membawa karakter yang lebih kompetitif, progresif, inovatif dengan semaian akhlak, nilai dan maruah yang tinggi bagi memacu transformasi negara.

Menurut kenyataan itu, landskap politik, ekonomi dan sosial negara mampu diperkasakan selaras kepantasan arus dunia dengan penglibatan langsung golongan muda melalui ideologi yang digarap daripada hasil-hasil kajian akademik, pembaharuan teknologi, kapasiti tenaga dan keupayaan mereka dalam membentuk inisiatif pembaharuan sosial yang komprehensif.

"Undi 18 yang meletakkan kuasa mengundi kepada golongan muda termasuk para pelajar wajar dijadikan peluang untuk menolak kepimpinan toksik dan rasuah daripada terus memusnahkan masa depan mereka.

"Sebaliknya, golongan mudalah yang harus tampil sebagai barisan hadapan kepimpinan dalam proses pembikinan polisi serta penggubalan undang-undang dalam mengemudi pentadbiran untuk mencorak masa hadapan negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 91 pertubuhan belia antaranya Undi18, Ikram Muda Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Belia KerapatanGraduan Muda (Kagum), University of Malaya Association of New Youth (Umany), Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Hindu Malaysia dan Eight Major Chinese Youth Organisation (EMCO).

Mengulas lanjut, Belia #RasuahBusters bersama rakan gabungan berpendapat, golongan muda juga harus berani untuk tampil dalam proses advokasi hak-hak bagi menjamin kualiti pendidikan, kesihatan, alam sekitar serta jaminan peluang pekerjaan bagi kemampanan ekonomi dan sosial untuk mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2030.

Tambah kenyataan itu lagi, pensejajaran misi secara berterusan bersama golongan muda bakal menentukan hala tuju kemajuan yang selari dengan kebangkitan #NilaiMoralKarakterBangsa agar negara ini bebas daripada kemelut ketidakstabilan politik dan isu rasuah.

"Sebagai aset penting negara, komitmen bersepadu golongan muda adalah sinar harapan lahirnya negara yang progresif, telus dan jujur. Tindakan hari ini adalah penentu selamat atau sengsaranya rakyat.

"Mulakan dengan memilih pemimpin yang tidak rasuah. Jangan biarkan perasuah merampas masa depan anak muda Malaysia," menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram