Pengundi muda perlu elak terjerumus politik wang


  • Politik
  • Ahad, 13 Feb 2022

PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac depan bakal menyaksikan pelaksanaan Undi18 buat pertama kali. — AZLINA ABDULLAH/The Star

PENGUNDI muda khususnya yang berusia antara 18 dan 20 tahun perlu didedahkan dengan pendidikan demokrasi, untuk memastikan kelompok itu tidak terjerumus dalam politik wang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menggalas tanggungjawab tersebut agar kelompok pengundi kali pertama itu memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang layak mengundi.

Jelas beliau, ia termasuk memberikan pendedahan asas berhubung peraturan ketika melaksanakan hak sebagai pengundi dalam pilihan raya.

"Saya paling risau sebenarnya ialah sama ada anak-anak muda, sekiranya mereka tidak celik proses demokrasi, (seterusnya mengakibatkan mereka) kurang faham apa yang patut berlaku pada hari mengundi.

"Apa hak mereka sebagai pengundi, adakah undi itu rahsia, dan banyak perkara asas dalam proses demokrasi itu. Adakah mereka mudah terkesan ataupun mungkin undi mereka boleh terbeli (dengan wang).

"Ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab (menawarkan wang) dan ini akan mendidik satu generasi pengundi dalam masalah yang disebut sebagai politik wang," katanya ketika ditemubual baru-baru ini.

cabaran Baharu (1)

FAHMI berkata, ahli politik mempunyai cabaran untuk bercakap dalam bahasa, cara dan gaya yang dekat dengan anak-anak muda.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengakui bahawa, corak pemikiran pengundi kumpulan umur berkenaan masih belum benar-benar difahami oleh parti-parti politik.

Bagaimanapun, beliau menambah, ketika ini semua parti sedang mendekati pengundi berusia 18 hingga 20 tahun dalam usaha memenangi hati dan undi mereka.

Mengenai sentimen pengundi muda terhadap situasi politik semasa pula, Fahmi berkata, senario pengundi muda dilihat akan lebih cenderung kepada pihak yang mampu menyelesaikan isu yang berkait rapat dengan golongan berkenaan.

"Sekiranya tidak dapat diselesaikan, maka mereka akan mencari pihak yang mampu menyelesaikan (isu tersebut).

"Manakala, untuk mana-mana ahli politik cabarannya ialah untuk bercakap dalam bahasa ataupun cara dan gaya yang dekat dengan anak-anak muda. Apatah lagi sekarang ini, (perkembangan mengenai politik semasa) mereka mudah menonton dan mendapatkan maklumat melalui telefon bimbit.

"Jadi, bagi saya cara mereka mendapatkan maklumat itu juga sangat penting kerana bukan sahaja setakat isu, tetapi cara maklumat itu disampaikan memainkan peranan dalam bentuk persepsi mereka terhadap parti-parti politik, calon-calon serta masa depan negara," ujar beliau lagi.

Fahmi Fadzil. -filepic

FAHMI mengulas tentang Undi18.

Pada masa sama, Fahmi berharap wakil-wakil rakyat daripada Keadilan di setiap kawasan telah memainkan peranan masing-masing termasuk mengadakan aktiviti dan libat urus bersama tokoh-tokoh muda.

Sewaktu zaman pemeritahan Pakatan Harapan (PH) dahulu, beliau berkata, parti politik memiliki akses dan ruang untuk mendekati pengundi muda.

Namun, beliau mengakui situasi pada masa ini sedikit sukar, berikutan negara masih berdepan ancaman Covid-19 dan gelombang varian Omicron.

Selain itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan bahawa undi yang bakal diberikan oleh pengundi muda pada pilihan raya akan datang tidak dipengaruhi oleh 'parti keluarga' atau ibu bapa.

"Saya percaya ramai anak muda juga akan melihat kepada pola (di mana) apa yang mungkin ibu bapa mereka suka, mungkin mereka tak suka... apa yang ibu bapa mereka suruh, mungkin mereka tak ikut.

"Ini juga merupakan satu fenomena yang kita semua telah lalui zaman itu. Maka, kalau ibu bapa suruh kena pilih yang ini, mungkin dia pilih yang bertentangan," tambahnya.

PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac depan bakal menyaksikan pelaksanaan Undi18 buat pertama kali.

Melalui pelaksanaan Undi18, jumlah pengundi baharu di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus, dengan penambahan 749,731 pengundi berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada PRU14.

Menurut data SPR, seramai 2,597,742 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

*Artikel ini merupakan sebahagian kolaborasi antara The Star, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Astro Awani untuk melaporkan isu semasa tanah air dengan lebih terperinci.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram