RUSIA akan mula menguji sut tempur robot gaya 'Iron Man' dalam usaha negara itu meningkatkan kekebalan pasukan tenteranya di Ukraine.
Pengumuman itu dibuat ketika tentera Vladimir Putin berdepan dengan tekanan akibat kekurangan senjata perang.
Negara itu juga mengerahkan 300,000 anggota tenteranya untuk melakukan serangan di Ukraine tanpa sebarang latihan atau peralatan sesuai.
Lebih membimbangkan, sebilangan anggota tentera juga menyuarakan kemarahan mereka terhadap amalan perang yang dilihat tidak popular dan menelan kos tinggi.
Antara ciri-ciri yang terdapat pada eksoskeleton tersebut. — Agensi
Eksoskeleton berteknologi tinggi itu menjadikan si pemakai memiliki kekuatan luar biasa, melihat jarak jauh secara tepat dan keupayaan berlari dengan lebih pantas serta lebih lama di kawasan yang sukar.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekzo Solutions Rusia, Maxim Skokov mendedahkan bahawa, syarikatnya didekati 'agensi khas' yang ingin menguji peralatannya di medan perang.
'Agensi khas' yang dimaksudkannya itu berkemungkinan merujuk kepada perkhidmatan perisikan atau kumpulan upahan Rusia.
Reka bentuk unik topi keledar keselamatan eksoskeleton perang itu. — Agensi
Syarikat tersebut sudah membina exoskeleton dan abah-abah separa yang agak berpatutan untuk kegunaan industri.
"Ahli artileri (senjata) berminat exoskeleton untuk mengurangkan berat peluru semasa pemuatan.
"Kami akan mengadakan ujian di tempat latihan pada bulan November atau Disember, manakala para pelanggan bakal menguji keberkesanan peralatan kami.
"Hari ini kami mencipta kira-kira 50 exoskeleton setiap bulan, tetapi jika perlu, kami akan meningkatkan pengeluaran dengan lebih cepat," kata Skokov.
Rusia secara rahsia mengusahakan sut ekso selama bertahun-tahun, manakala tahun lepas syarikat Rostec mendakwa sut 'Iron Man' terbukti sangat berkesan dalam operasi ketenteraan di Syria.
Para saintis Rusia juga berharap dapat menyempurnakan reka bentuk sut itu menjelang 2025, selain mendakwa mereka mahu menjadikannya lebih kuat dan pantas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram