SEBUAH majlis pengebumian di Indonesia bertukar kepada situasi mengejutkan apabila lelaki yang dikatakan sudah mati itu tiba-tiba kembali bernyawa.
Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, lelaki dikenali sebagai 'US' berusia 40 disahkan pengamal perubatan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Jakarta.
Abang mangsa, Saputra berkata, pada waktu kejadian adiknya sedang bekerja di daerah Semarang.
"Pihak hospital kemudiannya menghubungi isteri US dan memaklumkan tentang keadaannya yang nazak di hospital.
"Doktor yang bertugas mengesahkan adik meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.
Jasad US kemudiannya disimpan di dalam keranda dan dibawa pulang ke rumah pada hari yang sama dengan ambulans.
Namun, ketika dalam perjalanan pulang salah seorang daripada keluarga lelaki berkenaan melihat jasad mangsa seakan-akan bergerak seperti masih bernafas melalui cermin lutsinar pintu keranda.
Terkejut melihat keadaan tersebut, keluarganya terus membuka keranda berkenaan dan mendapati US masih hidup.
Keluarga US terus membawa mangsa ke klinik berdekatan yang mana doktor mengesahkan dia masih hidup dan diberi bantuan oksigen.
Memetik laporan media antarabangsa, US kini sedang berada di Hospital Kota Bogor untuk rawatan susulan dan dijaga oleh isterinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram