[VIDEO] Macam pro, sambil 'cuci mata' lelaki cabut sensor sebelum rembat telefon berjenama


  • Tular
  • Selasa, 15 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mencuri sebuah telefon bimbit di pusat beli belah The Gardens, Kuala Lumpur.

SEORANG lelaki kantoi apabila dirakam mencuri sebuah telefon bimbit berjenama mewah di pusat beli belah The Gardens, Kuala Lumpur pada Isnin.

Kejadian itu berlaku ketika suspek terlebih dahulu memasuki premis itu untuk melihat koleksi telefon bimbit yang dipamerkan.

Namun, situasi mula berubah apabila pemuda berkenaan bertindak mencabut sensor penggera keselamatan pada peranti berkenaan sebelum mencuri telefon itu.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu menerima lebih 500,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan rakaman itu, suspek didakwa pernah bekerja di sebuah pusat telekomunikasi apabila berjaya melakukan kegiatan itu tanpa disedari pengawal keselamatan.

Tindakan lelaki itu mencabut sensor peranti memudahkan dia melepaskan diri kerana tiada bunyi siren ketika melangkah keluar dari premis itu.

Ia sekali gus mengundang pelbagai spekulasi terhadap pencuri itu yang dikatakan sudah mahir dalam kegiatan mencuri telefon bimbit di kawasan terbabit.

Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan pemuda berkenaan.

“Laju betul dia buat kerja macam dah terbiasa je mencuri, tenang dia cabut sensor kalau orang biasa rasanya tak akan tahu," kata Izhamzuriani.

"Bukan ke sepatutnya sensor pada telefon itu akan berbunyi, macam mana dia boleh curi juga sampai pengawal pun tak perasan, rasanya dia mesti pernah bekerja di kedai telekomunikasi," jelas Axieazarina.

"Cap jari dia bersepah dekat telefon lain, harap pihak kedai lapor pada polis segera untuk siasatan lanjut, jangan kasi lepas pencuri macam ini bahaya kedai lain nanti," tambah taufikhidayat.

Difahamkan, pengurusan premis itu telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut namun masih belum ada sebarang kenyataan daripada polis setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram