[VIDEO] Sekumpulan polis belasah tahanan, mangsa alami masalah psikologi


  • Benua
  • Selasa, 15 Nov 2022

Tangkap layar video pegawai terlibat memukul mangsa malah menghempasnya ke dinding serta mencederakan kepalanya dengan menarik rambut.

SEORANG peguam memuat naik satu video kejadian tentang anak guamnya yang merupakan tahanan polis dipukul oleh anggota keselamatan di Penjara Camden County, Georgia, Amerika Syarikat, lapor berita First Coast News pada Isnin.

Tahanan yang bernama Jarrett Hobbs itu didakwa melakukan serangan terhadap anggota polis selepas insiden terbabit.

Mangsa pada awalnya ditahan oleh pihak polis kerana didakwa memandu laju tanpa sebarang lesen serta dipercayai memiliki barangan terlarang.

Peguamnya, Harry M. Daniels, memuat naik satu kenyataan media dengan menyatakan bahawa insiden itu tidak boleh dinafikan dan tindakan anggota terlibat tidak boleh dimaafkan.

"Sejak Hobbs dimasukkan ke dalam Penjara Camden County, dia mengalami gangguan psikologi dan meminta untuk ditempatkan dalam kurungan yang dilindungi.

"Tetapi malangnya, daripada dilindungi anggota polis, mereka bertindak memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan seperti sekumpulan samseng," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, anggota polis terlibat bukan sahaja bertindak memukul mangsa malah menghempasnya ke dinding serta mencederakan kepalanya dengan menarik rambut.

"Mangsa bukannya tahanan yang tidak terkawal atau mempunyai sebarang arahan daripada pihak penghakiman untuk menakutkan hidupnya.

"Perkara ini boleh diklasifikasikan sebagai keganasan berkumpulan yang mana pegawai terlibat turut memakai lencana dan kami menyeru pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan dengan segera," katanya.

Sementara itu, Polis Daerah Camden berkata, insiden tersebut masih lagi dalam siasatan dan akan merahsiakan nama individu yang terlibat sehingga kes ini selesai.

"Polis Camden sentiasa menjadi agensi yang telus dalam memberikan maklumat kepada orang awam tentang semua operasi di setiap unit.

"Sementara kes ini masih berjalan, semua nama anggota yang terlibat akan dirahsiakan sehingga selesai siasatan," katanya dalam kenyataan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram