[VIDEO] Pemandu Proton Saga selamat kereta ditembusi besi penghadang jalan


  • Tular
  • Selasa, 15 Nov 2022

Keadaan yang terbabas dan merempuh penghadang di jalan Lebuh Raya Persekutuan.

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang dialami seorang pemandu lelaki apabila hanya mengalami kecederaan ringan walaupun besi penghadang jalan menembusi kereta dipandunya pada Isnin.

Kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pengguna jalan raya yang lain.

Melalui rakaman video tersebut, difahamkan kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang di sebelah kanan jalan lebuh raya berkenaan.

Video berdurasi 18 saat yang dimuat naik di halaman Facebook We Are Malaysian itu menarik perhatian dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Turut tular beberapa gambar menunjukkan keadaan kenderaan dan mangsa yang terduduk di tepi jalan.

Seorang pengguna Facebook, Michael Teng berkata, mangsa berkemungkinan besar 'microsleep' ketika memandu.

"Nampak macam microsleep sebab kereta hilang kawalan. Nasib baik dia selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan," tulisnya.

Sementara itu, Rashid Ahmad mendoakan semoga urusan mangsa dipermudahkan.

"Semalam aku lalu, nampak kereta ini. Ingatkan ada yang meninggal, ngeri betul tengok besi itu tembus. Seram, kalau aku kena memang trauma. Semoga dipermudahkan urusan abang itu," katanya

Setakat artikel ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan kemalangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram