SEORANG wanita menzahirkan rasa syukur selepas suaminya dilaporkan terselamat dalam satu kemalangan ngeri di Alam Budiman, Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Kejadian itu dilaporkan melibatkan sebuah lori pembancuh simen dan seorang penunggang motosikal di lokasi tersebut.
Ketika kejadian, mangsa lelaki yang menunggang motosikal itu melalui detik berbahaya apabila dia dirempuh lori berkenaan yang secara tiba-tiba datang dari arah berlawanan.
Insiden itu difahamkan berlaku selepas pemandu lori terbabit hilang kawalan dan gagal menekan brek sebelum kenderaannya terbabas di laluan berkenaan.
Dikongsikan di laman Facebook, video tular itu hangat diperkatakan netizen dan menerima lebih 300 perkongsian setakat ini.
Namun, menurut hantaran dimuat naik di laman Facebook, isteri mangsa dikenali sebagai Noor Nazrah meluahkan rasa syukurnya selepas suaminya terselamat daripada kemalangan tersebut.
"Yang tunggang motosikal itu adalah suami saya, syukur ALLAH masih bagi peluang kepada kami semua, lemah semangat tengok video ini.
"Syukur bila dengar suami sendiri yang telefon beritahu dia kemalangan, suami selamat, nasib baik cuma bengkak dan luka sahaja.
"ALLAH masih sayang kami semua beri peluang kepada suami bila dia sempat mengelak dari dilanggar lori itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 11.17 pagi.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa lori bergerak dari arah bertentangan akibat jalan yang sedikit curam.
"Akibat kejadian, lori tersebut terbalik dan bahagian belakang lori merempuh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan," katanya.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan luka di badan dan kini sedang menerima rawatan di hospital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram