[VIDEO] Polis buru 2 pemancing 'psiko' tetak kepala aligator


  • Benua
  • Selasa, 15 Nov 2022

Dua orang remaja diburu polis kerana membunuh seekor aligator menggunakan sebilah parang di Florida. — Agensi

POLIS melancarkan siasatan ke atas sebuah video tular yang memaparkan insiden seorang remaja menyerang dan membunuh seekor aligator menggunakan sebilah parang di Florida, Amerika Syarikat, lapor Daily Star pada Ahad.

Berdasarkan video tersebut, remaja yang memakai seluar pendek dan baju berwarna biru itu menetak kepala aligator terbabit.

Dalam masa sama, perakam video tersebut didengari ketawa sepanjang insiden itu.

Aligator tersebut dilihat dalam keadaan berdarah selepas tetakan pertama yang mana ia sebelum itu dipercayai tersekat pada tali pancing.

Reptilia itu kemudiannya mati selepas ditetak kali kedua dan polis kini sedang memburu dua remaja terbabit.

Seorang pengendali reptilia tempatan, Alex Link, menggelar serangan itu sebagai ‘kekejaman tanpa sebab’.

“Kekejaman itu dilakukan tanpa sebab, yang mana aligator itu secara tidak sengaja tersekat ketika mereka memancing.

“Terdapat cara betul untuk melepaskan haiwan itu daripada tali pancing, justeru, penyeksaan tersebut dilakukan tanpa sebab,” katanya.

Tambah Link, cara remaja tersebut menyeksa aligator itu menggunakan parang merupakan satu tindakan jenayah.

“Anda berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta beberapa denda yang serius.

“Ia diklasifikasikan sebagai pemburuan haram kerana mereka membunuh aligator itu,” ujarnya.

Siasatan masih berjalan dan identiti kedua-dua remaja itu masih belum dapat dikenal pasti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram