[VIDEO] Polis disanjung jadi hero, tetap bertugas walau kaki ditusuk anak panah


  • Benua
  • Isnin, 14 Nov 2022

Tangkap layar video yang memaparkan anggota polis bertugas menyuraikan pergaduhan walaupun kaki sudah ditusuk anak panah. — Agensi

TETAP gagah menjalankan tugas untuk memastikan keselamatan penduduk lain walaupun paha sudah ditusuk anak panah.

Itu semangat yang dipamerkan seorang anggota polis dalam usaha untuk menyuraikan pergaduhan antara penduduk yang berlaku di Maluku Tenggara, Indonesia.

Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota polis juga cedera terkena anak panah di bahagian pinggang yang digunakan penduduk sebagai senjata ketika bergaduh.

Ketua Polis Maluku, Muhamad Roem Ohoirat berkata, kejadian pergaduhan itu berlaku pada Sabtu lalu.

"Apa yang terjadi kepada anggota polis itu adalah satu bentuk pengorbanan dalam usaha untuk memastikan keselamatan lebih ramai penduduk dijaga.

"Mereka sanggup berkorban jiwa demi kepentingan masyarakat. Ini membuat kami sama-sama terharu dan bangga dengan semangat pantang menyerah yang ditunjukkan untuk menyelamatkan nyawa penduduk," katanya.

Menurutnya, kedua-dua anggota yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.

Jelasnya, anggota polis yang cedera ialah Matias yang terkena anak panah di bahagian paha manakala Surya pula di bahagian pinggang.

Menerusi video yang tular itu, bahagia paha Matias masih tertusuk anak panah ketika dia mengarahkan kesemua yang terlibat pergaduhan untuk bersurai.

Malah, dia yang membawa selaras senapang juga berulang kali meminta penduduk yang mempunyai senjata tajam untuk tidak melakukan sebarang serangan lagi.

Penduduk kemudian akur dengan arahannya sebelum memilih untuk bersurai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram