KERJAYA seorang model ataupun pelakon sememangnya memerlukan bakat dan minat mendalam untuk berjaya dalam bidang tersebut.
Namun, kini kedua bidang itu dilihat semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembaca berita dan juga wartawan yang rata-ratanya mempunyai pakej serta bakat semula jadi yang tertanam dalam diri.
Buktinya, beberapa wartawan hari ini sudah mula menghiasi majalah dan menerima tawaran berlakon daripada syarikat produksi perfileman tanah air.
Berikut Majoriti senaraikan lima wartawan wanita jelita yang semakin mendominasi industri seni hiburan tanah air.
Hawa Rizwana
Penyampai berita terkenal, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27, kian diminati ramai susulan bakat serta penampilan kemasnya ketika menyampaikan berita di kaca televisyen.
Dikatakan mirip wajah selebriti terkenal, Noor Neelofa, Hawa langsung tidak dibayangi dan ditelan dek pujian ramai, malah terus mengorak langkah lebih jauh dalam bidang kewartawanan dan peragaan.
Terbaharu, Hawa muncul sebagai seorang pelakon dalam muzik video penyanyi Khai Bahar menerusi lagu berjudul 'Oh Wanita'.
Kemunculannya itu nyata diterima ramai apabila kurang dari 24 jam muzik video itu dimuat naik di You Tube, ia sudah meraih lebih 36,000 jumlah tontonan.
Sofea Nur Solehha
Nama Sofea Nur Solehha Tun sememangnya tidak asing lagi di dalam dunia pengacaraan dan kewartawanan.
Mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam bidang ini, Sofea sebelum ini bergelar pengacara di beberapa rancangan televisyen popular RTM sebelum meneruskan kerjaya sebagai personaliti TV di rangkaian televisyen Media Prima.
Turut mengendalikan sebuah rancangan berkonsep jenayah iaitu 999, Sofea juga sering dilantik sebagai duta produk di platform media sosial peribadinya bagi mempromosikan sesebuah jenama kepada pengikutnya.
Antara jenama terkemuka yang pernah berkolaborasi bersamanya adalah Teva Malaysia, The Haven Resort dan produk kecantikan Elemis Malaysia.
Ahirine Ahirudin
Pengacara dan hos meningkat naik, Ahirine Ahirudin, 26, semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia bukan sahaja dalam dunia kewartawanan malah penggemar aktiviti lasak dunia permotoran.
Selain daripada kerjaya sebagai seorang wartawan hiburan, Ahirine turut meminati sukan permotoran dan gemar 'ride' bersama rakannya hasil dorongan bapanya sendiri sejak dari kecil.
Terbaharu, Ahirine bakal tampil dengan sebuah filem bertajuk Rem-it 2 yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 24 November 2022 ini.
Marsila Hassan
Pembaca berita popular TV3, Marsila Hassan, 32, juga merupakan antara wartawan dan penyampai berita yang kian menghiasi dunia lakonan tanah air.
Pernah membintangi sebuah drama berjudul Mr. Millennium terbitan MIG Production, Marsila membawakan watak sebagai seorang pengacara bersama pelakon Aqasha dan ramai lagi artis terkenal.
Marsila kini kerap dilantik sebagai pengacara dan moderator untuk sesebuah program dan terbaharu, beliau merupakan penyampai radio di Buletin FM selain turut menjadi hos sukan di sebuah rancangan berjudul Bola Sentral.
Syaidatul Afifah
Meskipun baru sahaja bertapak dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 31, ataupun lebih dikenali sebagai Syaidatul Afifah dikatakan mempunyai bakat semula jadi dalam dunia pengacaraan sukan.
Memulakan kerjaya sebagai pemain boling sejak umur sembilan tahun, Afifah mula mewakili negara sebagai atlet boling profesional pada tahun 2009 dan pada 3 September 2020, beliau mengambil keputusan untuk bersara di usia 29 tahun setelah 11 tahun mewakili negara.
Kini, Syaidatul lebih meminati dunia pengacaraan dan sudah mula mengendalikan beberapa rancangan berkonsepkan sukan di saluran Astro Arena. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram