SEORANG wanita Malaysia berkongsi kisah nyaris menjadi mangsa pengeboman pengganas buat kali kedua di kawasan yang sama iaitu Dataran Taksim, Istanbul, Turkiye pada Ahad.
Wanita yang bernama Sharifah Nur Nalia, berkongsi perkara tersebut di Facebook yang mana dia hampir menjadi mangsa kejadian bom di Dataran Taksim yang meragut nyawa enam orang.
Menurut Nalia, insiden berdarah itu terjadi sehari selepas dia bersama rakannya berjalan-jalan di sekitar Istanbul dan membeli belah di lokasi kejadian pengeboman terbabit.
"Semalam, 24 jam sebelum kejadian bom di Dataran Taksim, Istanbul, Nalia dan rakan-rakan sedang berjalan dan membeli belah betul-betul di lokasi bom.
"Dataran Taksim ini merupakan lokasi membeli belah dan pelancongan utama di Istanbul yang menempatkan ribuan pelancong dari seluruh dunia dalam satu-satu masa," katanya di dalam Facebook.
Nalia turut sempat berkongsi pengalaman hampir menjadi mangsa pengeboman pengganas di kawasan yang sama pada 2016, namun syarikat takafulnya sempat menukar perjalanan bercuti ke negara lain.
"Dulu Nalia pernah qualified trip ke Istanbul dan Cappadocia juga pada 2016, memandangkan ketika itu ada kejadian bom juga, maka syarikat sempat tukarkan trip ke Seoul dan Jeju Island, Korea.
"Umpamanya dua kali Nalia terselamat dari bencana ini, syukur ya ALLAH, anak- anak masih kecil, semoga ALLAH panjangkan usia sampai anak-anak berkahwin atau boleh berdikari sepenuhnya," ujarnya yang merupakan ejen syarikat tafakul.
Tambahnya lagi, dia turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa serta mengencam tindakan pengganas yang menjadi individu tidak berdosa sebagai mangsa pengeboman.
"Al-Fatihah buat yang terkorban dan tercedera.Salam takziah buat keluarga yang terkesan. Kejam dan sampai hati sungguh pengebom. Randomly serang orang awam," luahnya.
Suspek merupakan seorang wanita yang meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di kawasan pengeboman. — Agensi
Ketika dihubungi Majoriti, Nalia turut mengulas lanjut tentang pengalamannya pada 2016.
Katanya, syarikat takaful tempatnya bekerja memberi ganjaran kepada staf kerana mencapai sasaran dan mereka merancang untuk melawat Turkiye pada bulan Mac.
Namun kira-kira sebulan sebelum mereka berlepas, dua serangan bom berlaku di Turkiye iaitu di Ankara dan Istanbul pada bulan Mac.
Serangan pertama berlaku di Istanbul apabila sebuah bom kereta diletupkan, menyebabkan 37 orang maut dan lebih 70 lagi cedera.
Serangan kedua pula berlaku di Dataran Taksim apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri di lokasi yang sama berlaku pada Ahad.
Letupan itu menyebabkan lima orang maut dan 36 lagi cedera.
Disebabkan serangan itu, percutian Nalia ditukar ke Korea Selatan atas faktor keselamatan.
Sepanjang 2016, sebanyak lapan serangan bom direkodkan di Turkiye.
Berhubung kejadian pada Ahad, pihak berkuasa Turkiye menahan 46 suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai meletakkan bom tersebut di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati wanita tersebut yang merupakan warga Syria meninggalkan sebuah beg dipercayai berisi bahan letupan di kawasan tragedi itu.
Turkiye mendakwa serangan itu didalangi oleh kumpulan pemberontak, Parti Buruh Kurdistan (PKK) yang sering melancarkan serangan bom di negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram