Pernah dipandang sinis dek status sebagai wanita, Marta Silva legenda bola sepak Brazil dikenang sepanjang zaman


  • Podium
  • Rabu, 07 Mei 2025

Marta membuktikan impian tidak pernah mengenal jantina, batas ekonomi atau sempadan budaya. — Agensi

DI sebuah padang berdebu di Brazil, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bermain bola sepak tanpa kasut, dikelilingi pemain lelaki dan impian besar yang belum difahami dunia. 

Hari ini, kanak-kanak itu, Marta Vieira da Silva dikenali sebagai legenda bola sepak wanita terhebat sepanjang zaman.

Dilahirkan pada 19 Februari 1986 di Dois Riachos, Brazil, Marta membesar dalam serba kekurangan bersama ibu tunggal dan tiga adik-beradiknya. 

BACA LAGI: Semarakkan bola sepak wanita, Selangor FC pertama kali tubuh 2 pasukan bagi WSL 2025

BACA LAGI: Selain duo Sabah, 'rising star' Selangor antara pemain bola sepak wanita pamer skil mahal di kelab luar negara

Ketika masyarakat memandang sinis terhadap anak perempuan yang bermain bola sepak, Marta tetap meneruskan minatnya dengan menyepak bola kempis dan plastik yang dibentuk menjadi bola di lorong-lorong kampungnya.

Disebabkan statusnya sebagai perempuan, Marta pernah dilarang bermain bersama rakan lelaki. 

Namun, bakatnya tidak mampu disekat. Pada usia 14 tahun, beliau ditemui oleh pencari bakat daripada kelab lelaki ternama, Vasco da Gama yang sedang membina pasukan bola sepak wanita. 

Di situlah permulaan perjalanan profesionalnya. Selepas beraksi bersama Vasco dan Santa Cruz, Marta berhijrah ke Sweden untuk menyertai kelab Umea IK pada 2004. 

Kejayaan tertingginya hadir apabila beliau meraih Kasut Emas dengan tujuh gol dan membawa Brazil ke perlawanan akhir. — Agensi

Bersama kelab itu, beliau meraih kejayaan besar, iaitu menjuarai Piala Wanita UEFA (kini Liga Juara-Juara Wanita) 2004, empat gelaran liga Sweden Damallsvenskan berturut-turut (2005 hingga 2008) dan menjaringkan 111 gol dalam 103 perlawanan liga.

Kariernya kemudian berkembang ke Amerika Syarikat (AS) dengan menyertai Los Angeles Sol, FC Gold Pride dan Western New York Flash, memenangi dua gelaran Liga Bola Sepak Profesional Wanita (WPS) serta dua anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP). 

Marta turut kembali ke Brazil bermain bersama Santos FC, sebelum kembali ke Sweden dan kini bersama Orlando Pride dalam Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan (NWSL).

Lakar sejarah di pentas dunia

Di peringkat antarabangsa, Marta mula mewakili Brazil sejak 2002 dan menjaringkan tiga gol dalam penampilan sulungnya di Piala Dunia Wanita FIFA 2003. 

Kejayaan tertingginya hadir pada 2007 apabila beliau meraih Kasut Emas dengan tujuh gol dan membawa Brazil ke perlawanan akhir.

Marta terus mencipta sejarah apabila menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia lelaki dan wanita dengan 17 gol, mengatasi rekod Miroslav Klose dari Jerman. 

Beliau juga menjadi pemain bola sepak pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Sukan Olimpik berturut-turut.

Beliau membantu Brazil meraih tiga pingat perak Olimpik di Athens 2004, Beijing 2008 dan yang terbaharu, Paris 2024. 

Perlawanan akhir Olimpik Paris menyaksikan Brazil tewas 1–0 kepada AS, menandakan berakhirnya karier antarabangsa Marta selepas lebih dua dekad mengharumkan nama negaranya.

Dengan enam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA (2006 hingga 2010 dan 2018), Marta bukan sekadar ikon sukan, tetapi simbol ketabahan dan harapan buat wanita seluruh dunia. 

Dari padang kecil di kampung terpencil, beliau membuktikan bahawa impian tidak pernah mengenal jantina, batas ekonomi atau sempadan budaya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram