
DI sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya figura seorang wanita yang menjadi tunjang utama kehidupan berumah tangga.
Bagi pemain bola sepak profesional, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri, perkahwinan mengubah kehidupan, menjadikan dirinya lebih matang dan berdisiplin dalam kerjaya serta kehidupan peribadi.
Sebelum mendirikan rumah tangga, penjaga gol kelab Liga Super, Sri Pahang FC berusia 25 tahun itu mengakui kehidupannya sibuk dalam membahagikan masa antara latihan, perlawanan dan pelajaran.
BACA LAGI : [VIDEO] Tragedi menjelang Nisfu Syaaban, 5 beranak rentung rumah musnah dijilat api di Umbai
"Semasa bujang, saya berdepan cabaran untuk menyusun masa antara belajar dan bermain bola. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya cuba menyesuaikan diri, " katanya kepada Majoriti.
Azfar mendirikan rumah tangga bersama suri hatinya, Rabiatul Nurlaisa pada 30 Disember 2023. — Instagram
Namun, selepas berkahwin, segalanya berubah. Kehadiran isteri, Rabiatul Nurlaisa Nasaruddin bukan sahaja memberi ketenangan, malah membantu menguruskan kehidupan sehariannya.
"Alhamdulillah, isteri banyak membantu dari segi menguruskan hal rumah tangga dan anak-anak. Saya hanya perlu fokus kepada tugas mencari rezeki dan memberi yang terbaik di atas padang.
"Malah, saya rasa sangat bersyukur ketika melanjutkan pelajaran, isteri saya banyak membantu dalam kehidupan seharian. Boleh katakan semua jadual dia yang ingatkan.
"Saya sejujurnya rasa sangat bersyukur kerana dia juga memahami kerjaya saya sebagai seorang pemain bola sepak," tambahnya.
Menurut anak jati Terengganu yang lebih mesra disapa Azfar itu lagi, salah satu cabaran terbesar usai berumahtangga adalah apabila perlu berjauhan dengan keluarga ketika menghadiri perlawanan di luar.
Bagi Azfar, walaupun terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya selama beberapa hari, tetapi sokongan mereka tetap menjadi kekuatan utama.
Azfar dan isterinya, Rabiatul Nurlaisa dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Ayden Raees pada tahun lalu. — Instagram
"Isteri saya sentiasa memberi semangat. Sebelum perlawanan, dia akan menghantar pesanan dan mendoakan saya. Itu menjadi motivasi tambahan untuk saya bermain dengan lebih baik," ujarnya.
Sebagai seorang ayah dan suami, Azfar kini berasakan tanggungjawabnya semakin besar. Jika dahulu dia hanya perlu memikirkan diri sendiri dan keluarga, namun kini dia perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kehidupan isteri dan anaknya lebih terjamin.
"Kehidupan selepas berkahwin membuatkan saya lebih berdisiplin dan bekerja lebih kuat. Ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk keluarga yang bergantung harap kepada saya," katanya sambil tersenyum.
Dengan semangat dan sokongan keluarga, Azfar bertekad untuk terus memberikan yang terbaik di dalam dan di luar padang, membuktikan bahawa perkahwinan bukan penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kejayaan dalam karier bola sepaknya.
Untuk rekod, Azfar mendirikan rumah tangga bersama suri hatinya, Rabiatul Nurlaisa pada 30 Disember 2023 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Ayden Raees. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram