Selain duo Sabah, 'rising star' Selangor antara pemain bola sepak wanita pamer skil mahal di kelab luar negara


  • Relaks
  • Isnin, 10 Feb 2025

Azurin menyertai KFF Vllaznia di Liga Albania. — Facebook/Sabah FA Women

LANDSKAP bola sepak wanita Malaysia mungkin hanya berskala kecil di tanah air namun ia bukan alasan untuk beberapa pemain tempatan untuk membawa cabaran baharu ke saingan luar negara.

Pertandingan-pertandingan seperti Liga Wanita Nasional (LWN) anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Women Champions League (AWCL) antara dua platform yang menaikkan nilai pemain wanita tanah air.

Misalnya, penjaga gol nombor satu negara iaitu Azurin Mazlan berhasil memikat pasukan di Liga Albania, FKK Vllaznia selepas cemerlang membantu Sabah FA dalam mengharungi LWN dan AFC Women’s Champions League (AWCL) bagi musim 2024 yang lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Selamat datang ke JDT Alvaro Gonzalez, harap Feroz dengan Shahrul Saad korek ilmu daripada dia'

BACA LAGI: Athina jadi inspirasi model 'plus size', kikis stereotaip wanita hanya cantik jika kurus

Aksi cemerlang pemain berusia 25 tahun itu mengawal pintu gawang Sabah ketika Kelayakan AWCL lalu pastinya diingati sehingga mencipta sejarah menjadi pasukan wanita pertama Malaysia bermain di Asia.

FKK Vllaznia bukanlah pasukan luar negara pertama buat pemain kebangsaan berkenaan memandangkan sebelum ini, Azurin juga pernah beraksi bersama kelab berpangkalan di India serta Kosovo.

Selain Azurin, terdapat empat lagi pemain bola sepak wanita negara berani menyahut cabaran dengan beraksi bersama kelab luar negara:

1. Qaseh Rania Khairul

Snapinst.app_455608209_1711565616281056_2611402157605333871_n_1080

Qaseh Rania (tengah) ketika menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg di Jerman pada tahun lalu. — Instagram/Qaseh Rania

Pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2023, Qaseh Rania Khairul Najib mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi pemain wanita Asia Tenggara pertama menerima tawaran menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg di Jerman.

Perpindahan anak jati Puchong, Selangor itu ke Wolfsburg membuka lembaran baharu dalam kariernya kerana ia akan memberi peluang buat 'ubi muda' tempatan mengembangkan bakat di Eropah.

Enam minggu di bumi Wolfsburg dimanfaatkan sebaiknya oleh Qaseh Rania apabila pemain itu berhasil memikat kelab gergasi Jerman untuk menandatanganinya. Bagaimanapun, urusan permit Qaseh Rania menjadi antara halangan utama untuk pemain berusia 14 tahun tersebut beraksi dalam perlawanan kompetitif di Jerman.

Untuk rekod, pemain muda yang bermain sebagai posisi penyerang tengah itu pernah meraih anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita FAS 2023 ketika beraksi bersama pasukan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) FC.

2. Intan Serah

intan-serah-1

Kejayaan Intan Serah di WPSL membuktikan bahawa pemain wanita Malaysia mampu bersaing di pentas dunia. — Instagram/Intan Serah

Berada dalam liganya yang tersendiri, Intan Serah Anisah Zulgafli turut mengharumkan nama negara apabila berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Premier Bola Sepak Wanita (WPSL) Amerika Syarikat bersama pasukan New York Dutch Lions FC (NYDLFC).

Kejayaan itu sekali gus menjadikannya pemain wanita Malaysia pertama yang berjaya meledak jaringan di liga tersebut.

Untuk rekod, Intan, 25, yang sebelum ini menjadi tonggak skuad bola sepak wanita kebangsaan Malaysia, menyertai NYDLFC pada Jun 2023 selepas menandatangani kontrak profesional dengan kelab berkenaan.

Beliau membuat penampilan sulungnya pada 15 Jun dalam perlawanan menentang SUSA FC, di mana beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir.

Sebelum menyertai NYDLFC, Intan telah menunjukkan aksi cemerlang dalam Sukan SEA di Kemboja pada Mei 2023.

Kejayaan Intan di WPSL membuktikan bahawa pemain wanita Malaysia mampu bersaing di pentas dunia. Diharapkan lebih ramai bakat tempatan akan mengikuti jejak langkahnya dalam memperkukuhkan nama Malaysia dalam arena bola sepak wanita antarabangsa.

Untuk rekod, Intan juga pernah menjadi rakan sepasukan Azurin apabila khidmatnya digunakan secara pinjaman dari Kelana United bagi membantu pasukan Sabah menghadapi AWCL bagi musim 2024/25.

3. Berlin Leong

Snapinst.app_368366962_833865254797175_8675110822901625521_n_1080

Berlin memulakan kerjaya bola sepaknya dengan Selangor FC sebelum melebarkan sayap dengan menyertai pasukan belia C.F. Pozuelo pada Ogos 2019. — Instagram/Berlin Leong

Berlin Leong, atau nama penuhnya Leong Xin Ying, adalah pemain bola sepak wanita Malaysia yang telah mencipta nama di Sepanyol.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Berlin memulakan kerjaya bola sepaknya dengan Selangor FC sebelum melebarkan sayap dengan menyertai pasukan belia C.F. Pozuelo pada Ogos 2019.

Pada November 2020, Berlin dinaikkan ke skuad wanita senior kedua C.F. Pozuelo dan membuat penampilan sulung menentang Real Madrid B pada Disember 2020.

Selain beraksi di peringkat kelab, Berlin juga pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa, termasuk Kelayakan Kejuaraan Wanita Bawah-19 AFC pada 2018 dan Japan-ASEAN Youth.

Pada Ogos 2023, Berlin mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di University Carlos III of Madrid dan pada masa yang sama meneruskan kerjaya bola sepaknya bersama pasukan wanita Atletico Trabenco sehingga 2026.

4. Celine Chuang

Snapinst.app_124336579_365640861358659_6440182249555474027_n_1080

Celine Chuang yang mencipta sejarah mewakili kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 2020. — Agensi

Selain Berlin, pemain wanita Malaysia yang turut menempa nama di luar negara adalah bekas pemain skuad wanita bawah 15 (B-15) kebangsaan, Celine Chuang yang mencipta sejarah mewakili kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 2020.

Celine yang berusia 15 tahun pada ketika itu beraksi untuk skuad wanita kedua B-17 Bayern Munich.

Sebelum ke Bayern Munich, Celine mendapat pendedahan awal dalam bola sepak di Malaysia sebelum berpindah ke Phuket, Thailand, untuk berlatih di BISP Cruzeiro Football Academy.

Kemudian, beliau meneruskan latihan di Jerman bersama FC Wacker Munchen, di mana dia bermain untuk pasukan lelaki B-15 dan berjaya menarik perhatian pencari bakat Bayern Munich.

Selain kejayaannya di peringkat kelab, Celine juga pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan bola sepak wanita peringkat ASEAN.

Berdasarkan rekod terkini dalam laman web worldfootball.net, Celine kini beraksi sebagai penyerang dengan kelab Wacker Munchen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram