Marion Caunter bangga anak wakili Real Madrid di Sepanyol, layak hingga suku akhir


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Marion dan Nasarudin bersama Liam ketika di Sepanyol.

SIAPA sangka, pada usia masih muda, Liam, anak kepada personaliti dan usahawan, Marion Caunter, berjaya mencipta sejarah peribadi luar biasa selepas mewakili Real Madrid Malaysia dalam kejohanan bola sepak antarabangsa di Sepanyol.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu menyertai Real Madrid Foundation World Challenge (RMFWC) yang berlangsung selama lima hari di ibu kota Sepanyol.

Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri oleh Marion atau nama sebenarnya Marion Rose Caunter Abdullah menerusi Instagramnya yang meluahkan keterujaan dan kebanggaan melihat anak lelakinya bermain untuk pasukan Real Madrid di bawah program bola sepak Real Madrid Foudation Malaysia (RMFM) dalam kategori bawah 10 tahun (B U-10).

BACA LAGI: 'Air liur pun terasa darah', kesan denggi dialami wanita lebih 'parah' berbanding lelaki

BACA LAGI: Anak demam berpanjangan, ibu bapa jangan ambil mudah jika bayi ada 'strawberry tongue'

Detik Liam bertemu pemain Real Madrid, Arda Guler disifatkan sebagai bertuah. — Instagram/@marioncaunter

"Lima hari penuh aksi tanpa henti di Madrid. Si kecil kami mewakili pasukan Malaysia untuk RMFM dalam kejohanan RMFWC.

"Mereka akhiri perlawanan tersebut dengan penuh semangat, menewaskan Brazil dalam kategori Gold B U-10," katanya.

Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi inspirasi bukan rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia.

"Sepanjang kejohanan, ada menang, ada kalah, tetapi paling bermakna adalah melihat semua pemain bersatu hati dan berjuang sampai ke wisel penamat.

"Kami sangat bangga dengan mereka. Liam akan pulang dari Madrid dengan kenangan yang tak akan dilupakan seumur hidup," tulisnya dalam hantaran yang disertakan beberapa keping gambar dan video.

Lebih mengujakan, anaknya sempat bertemu salah seorang pemain Real Madrid, Arda Guler yang dianggap sebagai pengalaman bertuah.

Untuk rekod, Marion mendirikan rumah tangga bersama Pengerusi Kumpulan Naza, Nasarudin Nasimuddin pada 17 Disember 2010.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Leia Rose, 14, Lana Rose, 12, dan Liam berusia 10 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram