
PERJALANAN hidup sering kali membawa kita ke arah tidak disangka. Itulah dialami Nur Haslinda Anuar, bermula hanya dengan impian untuk menurunkan berat badan, tetapi akhirnya menemui semangat dan kekuatan dalam Muay Thai sehingga berjaya menjadi jurulatih sepenuh masa dan membuka gim sendiri.
Pada usia 30 tahun, beliau lebih mesra dengan nama Coach Lynda membuat keputusan untuk mengubah gaya hidup selepas berat badannya mencecah 80 kilogram (kg) dan sering mengalami masalah kesihatan atas faktor kerja.
Niatnya hanya satu iaitu mahu menjalani kehidupan lebih sihat dan menurunkan berat badan.
Namun, langkah kecil ke arah kecergasan itu telah membuka pintu ke dunia Muay Thai, di mana beliau mula berlatih di sebuah kelab Muay Thai di Klang, Selangor di bawah bimbingan Cikgu Raja.
"Pada awalnya, saya cuma mahu kurus. Tetapi ketika saya mula memahami falsafah Muay Thai, saya jatuh cinta dengan sukan ini.
"Dalam Muay Thai, kita bukan sekadar belajar menumbuk dan menendang. Kita belajar tentang keberanian, disiplin, dan bagaimana untuk bangkit setiap kali kita jatuh," katanya kepada Majoriti.
Coach Lynda buat keputusan ubah gaya hidup selepas berat badannya mencecah 80kg dan sering mengalami masalah kesihatan atas faktor kerja.
Bercerita lanjut, wanita berumur 40 tahun itu juga menjelaskan beliau juga merupakan pelatih kecergasan (fitness coach) terlatih.
Keazaman dan kerja kerasnya tidak sia-sia. Selepas beberapa tahun menjadi seorang jurulatih bebas, beliau nekad untuk melangkah lebih jauh dengan membuka gim sendiri, Phoenix Nation Muay Thai, sebuah pusat latihan Muay Thai khas untuk wanita.
Khas buat wanita
Menurutnya, pengalaman peribadi yang kurang selesa berlatih di gim Muay Thai bercampur jantina menjadi pemangkin kepada usaha tersebut.
"Kebanyakan wanita berasa ragu-ragu untuk menyertai latihan seni bela diri kerana faktor persekitaran.
"Saya mahu membina satu ruang yang selamat, di mana mereka boleh membina keyakinan dan kekuatan diri tanpa rasa takut.
"Saya tahu bagaimana rasanya berlatih dalam persekitaran yang tidak selesa. Dulu susah nak cari gim yang benar-benar mesra wanita, terutama bagi mereka yang berhijab. Jadi, saya buka Phoenix Nation Muay Thai untuk menyediakan ruang yang selamat dan eksklusif buat mereka," katanya.
Kini, Phoenix Nation Muay Thai bukan sekadar tempat latihan, tetapi sebuah komuniti yang menggalakkan wanita untuk menjadi lebih kuat, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental.
"Di sini, kami menawarkan pelbagai program latihan, termasuk Muay Thai, latihan berat, HIIT (high-intensity interval training) dan bimbingan kecergasan yang direka khas untuk wanita dari pelbagai latar belakang dan tahap kecergasan.
"Matlamat saya adalah untuk membina komuniti wanita yang kuat, berdaya tahan, dan yakin dengan diri mereka sendiri. Di sini, mereka boleh berlatih tanpa rasa takut atau ragu-ragu," kata Coach Lynda.
Dari seorang yang hanya mahu hidup lebih sihat, kini Coach Lynda telah menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk berani mencabar diri, keluar dari zon selesa, dan menemui kekuatan yang ada dalam diri mereka.
“Jika saya boleh lakukannya, sesiapa pun boleh. Perubahan bukan tentang bagaimana kita bermula, tetapi tentang bagaimana kita terus melangkah,” katanya penuh semangat.
Malah, beliau juga pernah menyertai beberapa perlawanan Muay Thai bagi mencabar dirinya.
Selepas lebih sedekad menceburkan diri dalam arena Muay Thai, Coach Lynda akhirnya membuat keputusan untuk bersara sebagai fighter pada 2023.
Keputusan itu dimeterai dengan kemenangan knockout (KO) pada pusingan kedua di kejohanan Ultimate Beatdown di Johor Bahru, Johor pada Februari 2023.
"Saya dah buat keputusan sebelum bertarung, kalau menang, saya akan bersara. Alhamdulillah, saya menang KO. Itu isyarat untuk saya berhenti sebagai fighter dan fokus sepenuhnya kepada melatih wanita lain," jelasnya.
Walaupun ramai yang berharap dia kembali ke gelanggang, Coach Lynda sedar bahawa komitmen sebagai fighter memerlukan disiplin tinggi dan latihan intensif.
Kini, seluruh perhatiannya tertumpu kepada membangunkan Phoenix Nation Muay Thai agar lebih ramai wanita dapat meraih manfaat dari Muay Thai dan kecergasan.
Dengan semakin ramai wanita menyedari kepentingan kecergasan dan seni mempertahankan diri, Phoenix Nation Muay Thai terus berkembang sebagai pusat latihan pilihan.
Kejayaan gim itu membuktikan bahawa kecergasan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga satu bentuk pemerkasaan wanita dalam dunia yang penuh cabaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram