
SETIAP wanita yang melalui fasa berpantang selepas bersalin pastinya mempunyai pengalaman berbeza-beza.
Bagi bekas penjaga gol kebangsaan, Nur Izwani Azman atau lebih dikenali sebagai Niena Azman Nina, kehamilan anak ketiganya baru-baru ini diakui agak mencabar, namun bersyukur situasi bermakna itu berjaya dilalui dengan baik.
Isteri kepada gitaris kumpulan Kristal, Rody itu selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.7 kilogram (kg) secara normal, pada awal Januari lalu.
BACA LAGI : [VIDEO] Selain masalah gaji, Niena Azman cuba intai pemain warisan wanita perkasa Malayan Tigress
Ujarnya, walaupun tiada masalah kesihatan serius, kehamilan kali ini lebih mencabar disebabkan faktor usia.
"Cabaran kali ini mungkin disebabkan faktor umur kerana mengandung selepas usia 35 tahun agak mencabar.
"Tambahan pula, beza antara anak kedua dan ketiga adalah lima tahun, jadi seolah-olah perlu bermula semula," kongsinya kepada Majoriti.
Bekas penjaga gol kebangsaan, Niena Azman Nina — Instagram/Niena
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi kesukaran tidur dialami sepanjang kehamilan berlarutan sehingga selepas bersalin.
Bagaimanapun, beliau dan suami sudah bersedia secara mental untuk menghadapi situasi itu.
Berpantang tradisional
Mengutamakan kesihatan dalaman, Niena memilih untuk berpantang secara tradisional selama 28 hari dengan bantuan confinement lady.
"Semua dilakukan secara tradisional kerana saya mahu memberi tumpuan kepada penjagaan rahim.
"Saya mengamalkan rawatan seperti sauna dan bertungku. Fokus utama adalah memastikan pemulihan dalaman secara menyeluruh," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2018.
Niena selamat selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.7 kilogram (kg) secara normal, pada awal Januari lalu. — Instagram/Niena
Niena turut berkongsi tujuan beliau mengambil confinement lady juga untuk membantu sepanjang tempoh berpantang kerana tidak mahu membebankan ibu ataupun ibu mentua.
"Walaupun mereka datang menjenguk dan membantu, tugas utama seperti rawatan bertungku, mandi bayi dan urutan dilakukan oleh confinement lady.
"Pelaburan ini sangat berbaloi kerana ia meringankan beban dan memastikan badan benar-benar pulih sebelum kembali kepada rutin harian," ujarnya.
Petua berpantang makanan
Dalam perkongsiannya, Niena menekankan kepentingan menjaga pemakanan sepanjang berpantang dengan mengamalkan makanan kukus dan bakar serta mengelakkan air sejuk selama 90 hari.
“Saya percaya ia penting untuk kesihatan dalaman wanita. Walaupun nampak remeh, kita tak tahu kesannya 20 tahun akan datang,” jelasnya yang disiplin soal berpantang bagi membantu memulihkan kembali organ reproduktif.
Niena bersama dua orang anak lelakinya. — Instagram/Niena
Selain itu, beliau juga menegaskan kepentingan memakai bengkung untuk membantu mengawal selera makan serta mengecilkan perut dan rahim.
Niena turut mengamalkan penyusuan badan yang dicampurkan dengan susu formula bagi memastikan bayi mendapat cukup nutrisi.
"Untuk anak pertama, saya agak struggle sebab anak tak pandai menyusu, dan Niena juga masih baru. Tetapi untuk anak kedua dan ketiga, semuanya lebih lancar.
"Alhamdulillah, ketiga-tiga anak Niena tidak mengalami masalah untuk menerima susu formula. Niena juga setia menggunakan jenama susu yang sama sejak anak pertama kerana sudah terbiasa dan serasi.
"Anak lelaki biasanya lebih kuat menyusu. Ada ketika, bayi perlu menyusu setiap jam, jadi susu badan sahaja tak mencukupi,” katanya sambil berkongsi bahawa kesemua anaknya tidak mengalami masalah menerima susu formula.
Jaga penampilan
Niena menasihatkan para ibu supaya menjaga kesihatan dan kecergasan selepas bersalin tanpa rasa rendah diri. — Instagram/Niena
Mempunyai tiga anak tidak menghalang Niena untuk tetap kelihatan anggun dan menawan.
Menurutnya, penjagaan kecantikan bukan hanya untuk suami, tetapi juga kepuasan diri sendiri.
"Saya percaya berpeluh sangat baik kerana ia mengeluarkan toksin dan menjadikan kulit lebih berseri secara semula jadi.
"Berpantang secara tradisional juga memberi kesan besar kepada kesihatan dalaman dan luaran," jelasnya.
Niena yang kini berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk menguruskan pasukan bola sepak dalam KL Women’s League dan Liga Wanita Nasional (LWN) turut berkongsi bahawa selepas tempoh 44 hari, beliau akan kembali ke gimnasium bagi pemulihan secara moden dan mengekalkan kecergasan.
Niena dalam pada itu menasihatkan ibu-ibu di luar sana supaya menjaga kesihatan dan kecergasan selepas bersalin tanpa merasa rendah diri.
"Tak perlu buat senaman yang berat. Sekarang banyak latihan yang boleh dilakukan di rumah, walaupun sambil menjaga anak.
"Apa yang penting ialah kita berusaha untuk menjaga kesihatan dan kecergasan," katanya lagi.
Perancangan tambahan
Niena dan Rody sudah merancang mempunyai tiga orang anak sahaja. — Instagram/Niena
Mengulas mengenai harapan mendapatkan bayi perempuan, Niena berkata, beliau dan suami sudah merancang untuk mempunyai tiga orang anak sahaja.
"Memang ada impian untuk dapat bayi perempuan, tetapi rezeki tetap bayi lelaki. Selepas ini, kalau ada yang 'accidentally terjadi', itu rezeki ALLAH, jelasnya.
Tambahnya, beliau pernah mengalami keguguran dua kali akibat penggunaan alat perancang, yang memberi kesan kepada fizikal dan mentalnya.
Oleh itu, beliau dan suami sepakat untuk menjadikan anak ketiga itu yang terakhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram