[VIDEO] Datuk Vida kongsi ada orang tengah 'approach', minta bantu taja Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Vida rupanya didekati untuk menyelamatkan skuad Perak FC. — Facebook/Perak FC

BARU-BARU ini juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC secara rasminya mengumumkan penarikan diri dari saingan Liga Super musim depan kerana berdepan isu kewangan yang terlalu membebankan pasukan berkenaan. 

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi berkongsi bahawa pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus (TBG) termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

Drama tersebut seperti ulang tayang situasi 2020 apabila pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan pernah mengalaminya sehingga menyaksikan mereka tergelincir ke divisyen bawahan.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kami sudah kering’, Pengerusi Perak FC kata pelaburan RM30 juta tak cukup tampung kos operasi kelab

BACA LAGI: [VIDEO] Prestasi tidak menentu buat Perak FC sukar tarik penaja — Azim Zabidi

Selepas keputusan menarik diri itu dinoktahkan, usahawan wanita terkenal tanah air iaitu Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida rupanya didekati untuk menyelamatkan skuad TBG.   

Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd bagaimanapun menolak tawaran untuk menjadi penyelamat Perak FC susulan beliau tidak lagi melihat banyak keuntungan boleh diperolehi jika terlibat dalam perniagaan bola sepak. 

Azim meluahkan kesukaran untuk menampung perbelanjaan skuad TBG meskipun pelaburan besar sudah dilakukan. — Facebook/Perak FC

"Untuk yang terbaru memang saya ada dihantar jemputan untuk bersama mereka (Perak FC). Sama ada saya berminat atau tidak mengambil alih pasukan. Saya rasa sekarang bukan waktunya lagi untuk sebagai peniaga untuk melabur dalam sukan. 

"Kita kena tengok sekarang pun gelombang kepada media sosial. Jadi, saya pun banyak kepada media sosiallah. Bola sepak memerlukan dana dan pembelanjaan yang besar. Kerajaan pun tidak tertanggung. Kalau swasta pula return tak dapat sangat kalau kita invest pun.

"Middle man Perak ada bertanya dan Whatsapp dengan saya dalam dua ke tiga hari ni untuk mengaturkan satu perjumpaan. Saya cakap dengan dia yang saya memang tiada arah tuju nak terlibat dalam bola sepak," katanya kepada Majoriti. 

Masalah kewangan serius dialami skuad TBG kerana mereka difahamkan tidak menerima bayaran gaji penuh sejak lima bulan lalu. — Facebook/Perak FC

Vida bukan individu asing dalam industri bola sepak apabila beliau pernah menjadi menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017 menerusi perniagaannya iaitu Vida Beauty.

Dalam pada itu, dengan keadaan semasa menimpa beberapa kelab, beliau menasihati agar kelab-kelab yang sedang berdepan dengan masalah kewangan segera mencari jalan penyelesaian sebelum ia semakin melarat. 

"Kepada kelab yang nak jatuh itu, kalau sakit pergi berubat. Jangan tangguh dan jangan malu. Kena usaha cari jalan penyelesaian. Pasukan bola sepak memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. 

"Kalau tak cukup dana, jangan main nak buat. Sebab perniagaan bola sepak ini macam long life. Sekurang-kurangnya memerlukan 10 tahun baru pasukan itu akan grow dan menghasilkan keuntungan dan kemenangan," jelasnya. 

Vida bersama barisan pemain Kelantan pada musim 2016. — Facebook

Pada musim 2023, usahawan terbabit berminat untuk bergelar pemilik Kelantan FC yang berada bawah pemilikan Norizam Tukiman. 

Namun, proses tersebut dilihat cukup sukar memandangkan tiada kata putus antara kedua-dua pihak sehingga hasrat Vida untuk membantu skuad The Red Warriors buat kali kedua terkubur begitu sahaja.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram