BINTANG muda golf negara, Mirabel Ting menepati ramalan untuk menjuarai Kejohanan Amatur Golf Wanita Royal Selangor ke-46 di Kelab Golf Royal Selangor (RSGC) yang berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos lalu.
Pemain kelahiran Miri yang kini menetap di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu mencatatkan 69 pukulan di bawah par pada hari ketiga kejohanan, sekali gus merangkul gelaran ketiga buatnya pada tahun ini.
Sebelum ini, Ting mengungguli kejohanan TSM Golf Challenge dan Kejohanan Amatur Wanita Vietnam.
Dalam kejohanan tiga hari di RSGC, pemain berusia 18 tahun itu mencatatkan 68-70-69 bagi merangkul gelaran berprestij itu, mengenepikan cabaran Ng Jing Xuen dengan kelebihan 5 pukulan.
Mirabel (dua dari kanan). — Facebook/RSGC
Ting mendedikasikan kemenangan itu kepada jurulatihnya serta keluarganya yang banyak berkorban untuk membantunya mencapai ke tahap tersebut.
"Saya berterima kasih kepada ibu dan datuk saya, mendiang ayah serta kakak saya yang sentiasa menjaga, menyayangi serta memberi semangat kepada saya.
"Saya amat hargai pengorbanan yang mereka lakukan untuk saya.
Mengulas tentang prestasinya, Ting mengakui ada masa yang berasa sukar untuk mengekalkan konsisten.
"Ada kalanya anda menang, ada masa anda kalah dan ada masa anda belajar.
"Saya banyak belajar pada minggu lepas (kejohanan di Vietnam), menggunakan maklumat dan kesemuanya menjadi (minggu ini).
"Minggu ini amat menakjubkan dan walaupun saya menang, masih banyak perlu dipelajari untuk memperbaiki permainan saya.
"Amat bagus buat diri saya apabila mengecapi kemenangan," kata Ting.
Sebagai rekod, Ting antara atlet negara yang membantu Malaysia merangkul pingat perak pada acara Sukan SEA di Vietnam pada tahun lepas.
Bagaimanapun Ting tidak dapat menyertai acara sukan dwitahunan itu yang diadakan di Kemboja pada tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram