Hamidin optimis, Harimau Muda ulang sejarah ibu emas Sukan SEA Jakarta


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Hamidin bagaimanapun tidak menafikan cabaran yang perlu dihadapi skuad B-22 negara. — Agensi

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) mampu mengulangi pencapaian gemilang negara merangkul ‘ibu segala emas’ 12 tahun lepas di Jakarta, pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Hamidin berkata, keyakinan itu berdasarkan semangat juang tinggi dimiliki skuad negara selain peluang sama rata buat semua pasukan yang bertanding pada temasya dwitahunan itu walaupun mengakui Malaysia diundi dalam kumpulan ‘maut’ seawal peringkat kumpulan.

"Kalau dilihat pada Sukan SEA tahun lepas di Hanoi, kita kalah pada perlawanan waktu kecederaan dengan pasukan tuan rumah (Vietnam), jadi seperti saya katakan kepada pemain bahawa peluang ini semua sama rata.

"Kalau pemain kita (di tahap) tinggi atau bersedia daripada semua aspek, kecergasan, fikiran dan komitmen mereka, saya rasa kita boleh melangkaui kejayaan seperti 2011 apabila kita menang emas di Jakarta. Jadi tak mustahil dan mereka perlu fokus dan bersedia untuk berkorban,” katanya.

WhatsApp Image 2023-05-01 at 20.03.04

Skuad negara ketika memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta. Agensi

Hamidin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) SAM 2023 di Kelab Golf Seri Selangor pada Isnin.

Bagaimanapun, dia juga berharap anak buah E. Elavarasan yang berangkat ke Kemboja pada Selasa tidak terlalu memikirkan berkenaan pesaing yang akan dihadapi, sebaliknya memberikan usaha sehabis baik pada setiap perlawanan.

Bagi saingan edisi kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan dijadualkan bertemu Laos (3 Mei) seterusnya Thailand (6 Mei) dan Vietnam (8 Mei) dan Singapura (11 Mei).

Perjalanan skuad bola sepak negara di temasya dwitahunan pada edisi lepas terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam.

12 tahun lalu di Indonesia, Malaysia meraih emas dengan menewaskan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram