MALGA, Templer Park CC anjur kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia edisi ke-37


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Empat trofi yang akan menjadi rebutan dalam kejohanan TPCCMLAO 2023.

SELEPAS empat tahun 'berehat' akibat pandemik Covid-19, Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia 2023 (TPCCMLAO 2023) anjuran Pesatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) kini kembali menceriakan arena lapangan golf tanah air.

Templer Park Country Club akan menjadi medan untuk 100 pemain dari dalam dan luar negara berentap merebut trofi berprestij menerusi empat kategori yang dipertandingkan bermula 25 Julai hingga 27 Julai ini.

Kategori itu melibatkan Trofi DYMM Tunku Ampuan Negeri Sembiilan bagi kategori Juara Terbuka manakala Trofi YAM Tunku Tun Maimunah bagi kategori Bahagian Pertengahan Amatur untuk Handicap Indeks USGA 20.1 dan ke bawah.

Dua lagi trofi yang dipertandingkan adalah Trofi Maria Musa untuk Divisyen Senior dengan Handicap Indeks 22.0 dan ke bawah manakala Trofi Mary Williams bagi kategori berpasukan.

Antara pemain bertaraf dunia akan menyertai kejohanan ini termasuk dari Taiwan, Hong Kong, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kali terakhir edisi kejohanan ini berlangsung pada 2019 yang menyaksikan jaguh Thailand, Sarunchana Rattanasin merangkul gelaran juara.

Dengan penganjuran edisi ke-37 ini, MALGA berharap pemain Malaysia dapat merampas semula gelaran itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2016 menerusi Nur Durriyah Damian.

Presiden MALGA, Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Jaafar berkata, Malaysia mempertaruhkan harapan terhadap pemain berbakat besar seperti Ng Jing Xuen, Foong Zi Yu, Mirabel Thing dan Liyana Durisic.

110723_MALGA_PC_MLAO_TPCC_Group Photo_Trophy_TD_ATD_9931

Antara barisan pemain Malaysia yang akan bertanding pada kejohanan TPCCMLAO 2023.

Sebagai rekod, Jing Xuen merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Zi Yu pula pemenang pingat gangsa kejohanan yang sama.

Mirabel pula baru memenangi kejohanan akar umbi, TSM Golf Challenge manakala Liyana merupakan pemain kebangsaan dan bekas Juara Terbuka Remaja.

"Kita juga mempunyai beberapa bakat muda dari Yayasan Sime Derby-MALGA untuk menyertai kejohanan ini bagi kategori terbuka.

"Kali terakhir kita menang adalah pada 2016 menerusi Nur Durriyah dan kita berharap pemain Malaysia akan bergelar juara untuk edisi kali ini," katanya.

Berdasarkan rekod penyertaan setakat ini, pemain termuda yang berdaftar adalah berusia 12 tahun dari Singapura manakala pemain tertua berusia 60 tahun dari Taiwan.

Selain Templer Park Country Club, kejohanan ini turut mendapat tajaan daripada Avante Hotel dan MKH Berhad manakala penaja hadiah hole-in-one adalah Tesla, Air Asia dan MST. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram