Kes isteri bunuh suami, 'roh' mangsa hadir di mahkamah pertahan kematian kerana ajal


Lau Seck Yan mendakwa roh mendiang suaminya hadir untuk menghadap di mahkamah. — The Star

BEKAS pensyarah yang didakwa membunuh suaminya mencetuskan kekecohan apabila memberitahu Mahkamah Tinggi, Seremban, Negeri Sembilan bahawa roh mendiang hadir dan ingin menghadap hakim di mahkamah.

Lau Seck Yan, 56, berkata bahawa dia akan bercakap bagi pihak mendiang suaminya, Poh Seng Hiap.

"Selamat pagi semua. Saya, Lau Seck Yan, telah dituduh membunuh Poh Seng Hiap.

“Sebagai isterinya, saya ingin menjelaskan Poh Seng Hiap tidak dibunuh. Ia adalah ajal dan kematian yang telah ditakdirkan.

"Encik Poh tidak dibunuh," katanya.

Hakim Rohani Ismail kemudian memberitahu tertuduh bahawa perbicaraan belum dimulakan dan dokumen berkaitan hanya diserahkan kepada pasukan pembelanya pada hari tersebut.

Beliau seterusnya berkata, mahkamah akan mendengar keterangan saksi dan tertuduh di mahkamah kemudian.

Hakim juga berkata, pasukan pembelaan Lau juga telah menyatakan bahawa mereka mungkin memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara atas pertuduhan itu.

Lau, yang sebelum ini bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil Port Dickson pada 2018, bagaimanapun terus mendakwa dirinya tidak bersalah.

“Poh Seng Hiap tidak dibunuh. Ia adalah ajal. Ini saya, Poh Seng Hiap yang sedang berucap.

“Anda perlu faham bahawa isteri saya tidak membunuh saya.

“Saya Poh Seng Hiap di sini. Mengapa anda tidak menerima bahawa isteri saya tidak membunuh saya? Saya ditakdirkan untuk mati,” katanya.

Lau pertama kali didakwa pada 28 Januari tahun lalu atas pertuduhan melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Perbandaran Golf dan Desa Rasah Kemayan, Seremban, Negeri Sembilan antara pukul 3.30 petang dan 4.30 petang pada 23 Januari.

Poh, 55, yang merupakan seorang akauntan ditikam di dada dan perut.

Mahkamah Majistret juga memerintahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai di Johor Bahru, Johor dan pasangan itu difahamkan mempunyai empat anak perempuan.

Apabila mahkamah menetapkan tarikh 3 Mac 2025 untuk perbicaraan, Lau sekali lagi mencelah.

“Kamu perlu berlaku adil kepada kami. Poh tidak dibunuh. Ia adalah ketentuan,” selain turut mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada hakim.

Hakim Rohani kemudian memberitahu tertuduh bahawa dia sentiasa cuba berlaku adil kepada semua orang dan dia tidak boleh memberi tarikh lebih awal kerana terlalu banyak kes perlu dihadapinya.

Dalam pada itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram