Bomba ambil masa hampir 2 jam bawa naik lelaki Nepal pengutip bola golf lemas dalam tasik


  • 112
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa lemas di tasik Jalan Kampung Maju Jaya, Kempas Lama. — Ihsan bomba

SEORANG lelaki warga Nepal yang bekerja sebagai pengutip bola golf ditemui lemas selepas terjatuh dalam tasik di Jalan Kampung Maju Jaya, Kempas Lama, di Johor Bahru, Johor, pada Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Starhill Golf & Country Club pada pukul 4.28 petang.

Menurutnya, dua jentera fire rescue tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta Kempas dan sebuah utiliti Hicom dari Skudai dikerah ke lokasi kejadian.

"Seramai 18 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terjatuh ke dalam tasik dan lemas pada pukul 3.50 petang.

"Ketika kejadian mangsa yang berusia 27 tahun sedang bekerja mengutip bola golf di kawasan tasik terbabit," katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa ditemukan pada pukul 5.39 petang, kira-kira tiga meter dari lokasi terakhirnya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad tamat pada pukul 6.15 petang tadi," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram